Fauzan (tengah) ketika beraksi bersama PKNS. Foto file
Fauzan (tengah) ketika beraksi bersama PKNS. Foto file
Mohd Amin Jalil


SKUAD Negeri Sembilan yang kini berada di Kemboja dalam program persiapan pramusim mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, bakal menamatkan aksi persahabatan menentang Svay Rieng FC, di Stadium ISPP, Kemboja, petang esok.

Sebelum ini, skuad bimbingan Jorg Peter Steinnebrunner mencatat keputusan seri 1-1 berdepan Army FC dan kemudiannya menewaskan PPC FC, 3-0.

Penolong kapten pasukan, Mohd Fauzan Dzulkifli, berkata keputusan positif dicapai dalam dua perlawanan itu adalah suatu perkembangan memberangsangkan dalam usaha pemain menyesuaikan diri bagi membentuk keserasian mantap antara satu sama lain.

Katanya, selain pemain import, sebahagian daripada mereka yang menjadi tunjang kepada kekuatan Negeri Sembilan musim ini adalah pemain baharu.

“Justeru, perlawanan persahabatan diadakan di sini (Kemboja) bukan saja memberi peluang kepada setiap pemain membentuk keserasian tetapi juga menguji skil individu masing-masing.

“Kami perlu cepat menyesuaikan diri dan membentuk persefahaman padu antara satu sama lain yang akan memudahkan perancangan jurulatih membentuk skuad mantap dan merangka strategi terbaik pasukan.

“Apapun, dalam dua aksi persahabatan sebelum ini, kami berjaya mencatat keputusan yang baik dan kami bertekad untuk memperagakan aksi lebih baik pada perlawanan terakhir, esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Negeri Sembilan kembali menghangatkan saingan Liga Super musim ini selepas bersaing dalam Liga Perdana selama empat tahun berturut-turut sejak 2014.

Mohd Fauzan yang juga bekas kapten PKNS FC berkata, komitmen rakan sepasukan begitu tinggi dan yakin menerusi persiapan rapi dilakukan, ia akan memberi impak positif kepada sasaran ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 3:08 PM