RONALDHINHO giat berlatih sendiri untuk mengekalkan kecergasan dan berharap kembali dalam Liga M musim ini. FOTO Ihsan Patrick Ronaldhinho Wleh
RONALDHINHO giat berlatih sendiri untuk mengekalkan kecergasan dan berharap kembali dalam Liga M musim ini. FOTO Ihsan Patrick Ronaldhinho Wleh
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas penyerang import berbisa Liga Malaysia, Patrick Ronaldhinho Wleh sedia kembali menggegar arena bola sepak tempatan dan berharap harapan itu dapat direalisasikan musim ini.

Ronaldhinho yang masih mencari pasukan berkata reputasinya sebagai penyerang berbisa belum luput malah yakin masih mampu menyumbang kudrat kepada mana-mana pasukan.

Justeru, ayam tambatan dari Liberia itu berharap ada pasukan yang sanggup membuka pintu kepadanya kerana dia ingin kembali menikmati serta mewarnai bola sepak Malaysia.

"Saya sangat suka bermain di sini malah sudah anggap Malaysia sebagai negara kedua saya. Bayangkan, sejak 2012 hingga 2020 saya bermain di sini, bola sepak negara ini serta penyokongnya sudah sebati dengan diri saya.

"Banyak kenangan saya di sini menyebabkan saya sentiasa menyimpan impian untuk kembali bermain di Malaysia. Walaupun sudah berusia 32 tahun namun ia belum cukup tua malah saya sangat yakin masih mampu memberikan prestasi seperti dahulu.

"Walaupun tidak mempunyai pasukan, saya tetap mengekalkan tahap kecergasan dengan melakukan latihan bersendirian. Saya bersedia untuk diuji oleh mana-mana pasukan untuk mereka menilai sendiri," kata Ronaldinho.

Menurut Ronaldinho, dia sudah berada di Malaysia sejak pertengahan tahun lalu bagi mempersiapkan diri untuk kembali beraksi dalam Liga Malaysia musim 2023.

Malah, dia sudah menghubungi beberapa orang jurulatih untuk mencari peluang yang diidamkan namun setakat ini belum mendapat keputusan positif.

"Saya berharap dengan kuota pemain import sudah ditambah, peluang terbuka untuk saya kembali beraksi dalam bola sepak Malaysia. Saya kini berada di Puchong (Selangor), jika ada berpasukan berminat mereka boleh berhubung melalui media sosial saya," katanya.

Untuk rekod, Ronaldinho mula mencipta nama Liga M apabila mewakili kelab Sime Darby pada 2012. Dia menjaringkan 19 gol menerusi 20 penampilan. Seterusnya, pada 2013 hingga 2017, dia menyarung jersi PKNS FC, beraksi sebanyak 75 kali dan menjaringkan 45 gol.

Namun pada 2016, ketika masih mempunyai kontrak bersama PKNS, Ronaldinho dipinjam oleh pasukan Selangor untuk memperkuatkan pasukan pada musim itu.

Dia menjaringkan sembilan gol menerusi 19 aksi. Selain itu, dia juga pernah mewakili pasukan PDRM FC (2019) dan Sarawak pada 2020.

Sesuatu yang sudah pasti menjadi kenangan manis bagi Ronaldinho adalah apabila dia dipilih menyarung jersi pasukan Malaysia pada perlawanan persahabatan menentang kelab utama England, Liverpool di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Julai, 2015 lalu.

Harimau Malaya berjaya mengikat The Reds 1-1, dan lebih manis apabila Ronaldinho menjaringkan gol untuk skuad negara pada minit ke-13.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 1:58 PM