HARRY KANE
HARRY KANE
AFP

LONDON: Ketika Mauricio Pochettino meluahkan rasa bimbang mengenai masa depan penyerangnya, Harry Kane tampil menegaskan dia gembira untuk kekal bersama Tottenham Hotspur selagi kelab itu mula memenangi lebih banyak piala kejuaraan.

Sebelum ini, pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane memuji Kane yang disifatkan sebagai pemain serba lengkap, malah Manchester United juga turut menyatakan minat terhadap pemain 24 tahun berkenaan.

Pada 2016, Kane menandatangani kontrak lima setengah tahun dengan gaji 100,000 pound seminggu (RM542,151), satu nilai yang dianggap sederhana berbanding pemain terkemuka dunia yang lain.

“Seperti saya katakan, saya perlu meneruskan peningkatan dan kekal tampil lebih baik. Kami mula memburu kejuaraan dan selagi kelab ini meneruskan apa yang sedang dilakukan sekarang, sudah pasti saya gembira,” kata Kane.

Pochettino berkata, penghijrahan Philippe Coutinho dari Liverpool ke Barcelona menunjukkan tiada sebarang ruang untuk menjamin kedudukan dan situasi itu perlu diurus secara teliti.

“Harry cukup istimewa,” kata Pochettino. “Kerana dia cintakan Tottenham, dia akan sentiasa berada bersama kelab ini.

“Namun, kami perlu tampil lebih bijak untuk mengurusnya. Pemain perlu memilih di mana mereka mahu kekal. Kamu tidak boleh memaksa pemain.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 11:36 PM