POCHETTINO yakin Kane (kanan) mampu jadi seperti Totti. FOTO/AFP
POCHETTINO yakin Kane (kanan) mampu jadi seperti Totti. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino yakin ayam tambatannya, Harry Kane mampu dijulang sebagai legenda buat kelab Inggeris itu seperti Francesco Totti bersama AS Roma.

Kane, 24, yang mula menyertai Tottenham pada 2009 berjaya memintas rekod Alan Shearer selaku penjaring gol terbanyak semusim apabila meledak 39 gol berbanding 36 dirakamkan bekas bintang Newcastle United itu pada 1995.

Penyerang England itu turut merekodkan sebanyak 56 gol dalam semua pertandingan untuk meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak Eropah musim ini.

“Kane mempunyai kualiti dan motivasi untuk muncul pemain terbaik dunia bersama Tottenham, seperti Francesco Totti yang setia bersama Roma hingga penghujung kariernya.

“Untuk kami dan semua penyokong, Kane pemain yang menakjubkan dan memiliki mentaliti positif serta profesional,” kata Pochettino.

Kane yang menyumbang hatrik dalam tiga perlawanan berturut-turut sebelum ini dijangka tidak dapat diturunkan bagi aksi Liga Perdana Inggeris bertemu Swansea City, Selasa ini berikutan masalah kesihatan.

Pochettino berkata sekiranya ada pasukan lain yang berhajat mendapatkan Kane, beliau kemungkinan terpaksa menolak tawaran itu selain mengakui tidak tahu berapa nilai yang harus diletakkan ke atas bintang sensasinya itu.

“Saya rasa Kane tidak mempunyai harga kerana kami mahu dia terus kekal di sini. Dia sangat bernilai buat kami dan tidak akan ada harga buatnya,” kata pengurus dari Argentina itu.

“Kita boleh bercakap atau berbincang mengenai apa saja, tetapi tidak mengenai harga Kane. Tiada apa yang berubah, malah dia tetap pemain utama kami seperti tiga tahun lalu, setahun lalu, enam bulan lalu atau seminggu lalu. Dia tetap pemain utama kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 10:16 AM