Reuters

LONDON: Mauricio Pochettino dipalit kebimbangan yang penyerang bintangnya Harry Kane (gambar) berkemungkinan dilanda kecederaan ketika Tottenham Hotspur merekod kemenangan ke atas Liverpool, semalam.

Kane meledak dua gol pada pertembungan menarik di Stadium Wembley itu yang menyaksikan Tottenham menang 4-1 dengan Pochettino berkata kini bersedia untuk memberikan penyerang England yang ‘penat’ itu cuti rehat, minggu ini.

Jaringan Kane turut menamatkan badinya di Wembley tetapi peledak berbisa itu terpaksa dikeluarkan di penghujung perlawanan.

Ketika ditanya sama ada ia adalah tanda-tanda kecederaan, Pochettino mendakwa Kane hanya mengalami keletihan yang memungkinkan dia merehatkan penyerang prolifik itu rehat bagi aksi Piala Liga menentang West Ham United, awal pagi Khamis ini.

“Harry mempamerkan satu lagi persembahan yang cemerlang. Dia menakjubkan, salah seorang pemain terbaik di dunia,” kata Pochettino.

“Kecederaan? Tidak, dia hanya penat pada penghujung perlawanan. Dia memberikan usaha yang cukup besar, ketika menentang Bournemouth, Real Madrid dan hari ini. Tiada masalah.

“Kami mungkin akan merehatkan Harry minggu ini kerana kami masih perlu mengharungi banyak perlawanan. Man United, kemudian Real Madrid dan Palace.

“Jangan juga lupa yang dia bermain dua perlawanan bagi pasukan kebangsaan.

“Dia amat profesional tetapi dia bukan mesin dan mungkin pada Rabu dia perlu berehat.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2017 @ 9:07 AM