NAIF AL-QADI
NAIF AL-QADI
Daripada Aziman Rosdi di Changshu dan China


SKUAD Arab Saudi memasang hajat besar untuk menjuarai Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Changshu, China selepas percubaan pertama pada 2013 gagal.

Skuad muda The Green Falcons itu dikecewakan Iraq dengan kekalahan 0-1 pada final di Oman manakala tiga tahun kemudian di Qatar mereka tersingkir awal.

Menurut pengurus pasukan, Naif Al-Qadi, skuad kendalian Yousef Anbar itu lebih bersedia kali ini meskipun menganggap persaingan Kumpulan C membabitkan Iraq, Jordan dan Malaysia paling sukar.

“Alhamdulillah, kami layak ke pusingan akhir. Kami sudah membuat persiapan dan kami cuba lakukan yang terbaik untuk memberikan tentangan.

“Saingan Kumpulan C adalah lebih sukar berbanding kumpulan lain, Iraq pasukan yang sukar ditewaskan sama juga dengan Jordan dan Malaysia pula pasukan yang semakin meningkat.

“Setiap pasukan ada sasaran untuk menjadi juara dan saya harap kami dapat capai sasaran itu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di sini, hari ini.

Arab Saudi layak ke pusingan akhir selepas muncul naib juara Kumpulan B dengan menewaskan Bahrain 3-1, Afghanistan 8-0 dan tewas 0-2 kepada juara kumpulan Iraq.

Naif yang juga bekas pemain kebangsaan Arab Saudi dan beraksi pada Piala Dunia 2006 di Jerman menganggap semua pasukan memiliki kelebihan masing-masing namun berharap mereka akan muncul pasukan pertama layak ke suku akhir.

“Kami tahu banyak maklumat mengenai pasukan Malaysia tapi saya tidak mahu mendedahkannya sekarang, saya cuba bantu pasukan untuk menang ke atas Malaysia, Jordan dan Iraq. Saya harap kami akan menjadi pasukan pertama layak ke suku akhir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 5:47 PM