ROONEY menjalankan kerja komuniti tanpa gaji selama 120 jam.
ROONEY menjalankan kerja komuniti tanpa gaji selama 120 jam.
AFP

LONDON: Wayne Rooney mengakui dia membuat kesilapan kerana memandu dalam keadaan mabuk tetapi bintang Everton itu berkata khidmat komuniti yang dilakukannya ‘menenangkan’.

Rooney diarah untuk menjalankan kerja komuniti tanpa gaji selama 120 jam selepas mengakui mengambil minuman keras tiga kali melebihi tahap dibenarkan ketika memandu kereta milik seorang wanita.

Bekas kapten England dan Manchester United juga itu turut digantung daripada memandu selama dua tahun.

Penyerang itu berkata dia menyesal dengan kesilapannya kerana menyebabkan anak-anaknya ‘terluka’ tetapi mengakui dapat menebus kesalahannya dengan memberikan khidmat komuniti.

“Saya tahu dengan serta merta yang saya melakukan kesilapan bodoh dan perlu menghadapinya,” kata Rooney kepada TalkSport.

“Ia jelas sesuatu yang tidak bagus. Saya mempunyai anak dan ia tidak bagus untuk mereka melihat perkara itu dan saya cuba untuk melupakan dan belajar daripada apa yang saya lakukan.”

Berkata mengenai khidmat masyarakat yang dilaluinya, Rooney berkata: “Saya benar-benar menikmatinya. Ia adalah kerja yang dilakukan bersama orang dewasa yang memiliki masalah pembelajaran.

“Melihat daripada apa yang mereka lakukan, jelas mereka memerlukan sokongan. Ada ramai orang dewasa yang mengalami masalah pembelajaran yang memerlukan sedikit pertolongan dan bimbingan dan seseorang perlu ada untuk membantu mereka.

Rooney berkata dia langsung tidak bercakap mengenai bola sepak di pusat berkenaan.

“Ia tempat yang menyegarkan dan menenangkan. Sesuatu yang mungkin saya tidak akan lakukan jika tidak pergi ke sana. Jadi hebat untuk berada di sana.”

Pemain berusia 32 tahun itu mengakui bersalah memandu dalam keadaan mabuk di Mahkamah Majistret Stockport berikutan insiden yang berlaku pada awal pagi 1 September lalu.

Rooney yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak dilaporkan meninggalkan bar di Cheshire dengan teksi bersama Laura Simpson, 29, sebelum kemudiannya memandu kereta wanita itu.

Polis kemudian menahan Rooney selepas mencurigai sesuatu dan sewaktu ditahan dan diuji, mereka mendapati kandungan alkohol dalam badannya tiga kali melebihi had dibenarkan untuk memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 3:03 PM