REAL akan memulakan kempen Piala Dunia Kelab apabila memasuki peringkat separuh akhir. FOTO AFP
REAL akan memulakan kempen Piala Dunia Kelab apabila memasuki peringkat separuh akhir. FOTO AFP
Reuters

Rabat: Real Madrid menjadi pasukan pilihan untuk kejayaan kelima sekali gus melebarkan rekod di Piala Dunia Kelab, dan dalam proses mengekalkan penguasaan Eropah ke atas Amerika Selatan menjelang kejohanan tahunan itu yang bermula di Maghribi Khamis ini.

Real yang memenangi kejohanan itu pada 2014 dan kemudian melakar kejuaraan tiga kali berturut-turut dari 2016 hingga 2018 berada di landasan terbaik untuk berentap dengan kelab Brazil, Flamengo pada perlawanan akhir.

Kedua-dua kelab itu bagaimanapun perlu mengharungi perlawanan separuh akhir terlebih dahulu sebelum mereka boleh menetapkan pertembungan menarik di Rabat pada 11 Februari ini.

Kelab Eropah memenangi sembilan edisi terakhir kejohanan itu selepas wakil Brazil, Corinthians menjadi kelab terakhir dari Amerika Selatan muncul juara apabila menewaskan Chelsea dalam perlawanan akhir di Jepun pada 2012.

Juara Liga Juara-Juara dan Copa Libertadores tahun lalu hanya akan menyertai kejohanan itu di peringkat empat terakhir.

Kejohanan itu bakal bermula pada Khamis ini dengan kelab Al Ahly dari Mesir, yang layak sebagai salah satu daripada dua wakil Afrika akan bertemu Auckland City di Tangier dalam perlawanan pembukaan secara kalah mati.

Juara Oceania dari New Zealand itu bersaing buat kali ke-10 dalam kejohanan berkenaan menentang gergasi Kaherah yang turut memiliki pengalaman bersaing di Piala Dunia Kelab buat kali kelapan.

Pemenang akan mara ke suku akhir untuk menentang Seattle Sounders, Sabtu ini dengan kelab Amerika Syarikat itu memenangi Liga Juara-Juara Concacaf tahun lalu, namun berdepan prestasi kurang baik dalam kempen Major League Soccer.

Juara Afrika, Wydad Casablanca memiliki sokongan padu di tempat sendiri apabila mereka turun berdepan wakil Asia, Al Hilal dari Arab Saudi.

Flamengo hanya akan bermain perlawanan pertama mereka di separuh akhir pada 7 Februari dan Real Madrid pula beraksi sehari kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2023 @ 10:02 PM