ANTARA pelumba dari Thailand yang sertai HMMTB sirkit dua di Kerteh. -Foto ZULFADHLI ZULKIFLI
ANTARA pelumba dari Thailand yang sertai HMMTB sirkit dua di Kerteh. -Foto ZULFADHLI ZULKIFLI
Aida Adilah Mat


PERJALANAN seramai 20 pelumba dari Sungai Golok, Thailand untuk menyertai perlumbaan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTB) 2017 di Kerteh, Terengganu dianggap paling berbaloi.

Tegas pengurus pasukan Thailand, Suriya Lomoh, 56, yang turut menyertai perlumbaan bagi kategori masters lelaki, mereka tidak pernah ketinggalan menghangatkan saingan HMMTB sejak ia diperkenalkan pada 2013 dan apa yang dilakarkan di Kerteh adalah yang terbaik.

Menurutnya, beliau cukup berpuas hati apabila tiga pasukan dari Thailand yang dikendalikannya mempamerkan aksi memberangsangkan dan paling menyerlah adalah pelumba dari Thailand All Star.

Biarpun tidak berjaya menaiki podium selaku juara namun pencapaian pelumba wanita Sarocha Kamonlakhon (Thailand All Star) dan pelumba remaja Nati Samansanti (Haatyai MTB Thailand) yang menamatkan saingan masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga cukup menggembirakannya.

“Saya cukup berpuas hati dengan prestasi pelumba kali ini. Selain podium beberapa pelumba menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik.

“Ia menaikkan semangat kami untuk terus mencuba lagi. Saya harap pelumba dari Thailand akan terus menyerlah pada siri ketiga di Sungai Buaya nanti,” katanya.

Suriya berkata, ciri-ciri keselamatan yang dititikberatkan sepanjang perlumbaan HMMTB amat memuaskan dan menjadi antara penyebab utama penyertaan pasukan dari Thailand.

“Saya suka cara Harian Metro mengendalikan perlumbaan ini.

“Biarpun belum lagi muncul juara tapi itu tidak mematahkan semangat kami dan saya pasti jika dianjurkan lagi tahun depan kami akan menyertainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 3:34 PM