ZAMRI memeriksa basikal yang akan digunakan dalam perlumbaan hari ini.
ZAMRI memeriksa basikal yang akan digunakan dalam perlumbaan hari ini.
HM Digital

Sungai Buaya: Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTBGP) 2017 berada pada kelas tersendiri apabila menarik penyertaan beberapa pelumba basikal kebangsaan.

Semalam, pelumba profesional negara Mohd Zamri Salleh, 34, hadir di kaunter pendaftaran bagi mengesahkan penyertaannya.

Selain Zamri, adiknya yang juga pemenang pingat emas acara kriterium pada Sukan SEA Kuala Lumpur lalu, Mohd Harrif Salleh, 31, turut mengesahkan penyertaan dalam kejuaraan siri terakhir itu.

Kedua-duanya yang juga pelumba Terengganu Pro Asia Cycling Team (TSG) antara empat peserta yang mewakili pasukan Izrimee Bike untuk perlumbaan hari ini.

Wakil pasukan Izrimee Bike berkata, sudah pasti pasukan mereka meletakkan harapan tinggi untuk mengisi podium dalam kategori terbuka lelaki.

“Bagaimanapun, kami tetap berserah kepada Allah,” katanya ringkas ketika sibuk membuat persiapan.

Selain itu, penaja acara HMMTBGP yang menghantar 20 peserta mewakili pasukan Deuter Pinky Rider turut kelihatan ketika mengambil kit perlumbaan semalam.

Gelagat pasukan itu mencuri perhatian lensa kerana pakaian mereka yang berwarna merah jambu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 6:18 AM