KAMARUDDIN anggap PBNP ada alasan tersendiri tolak tawaran.
KAMARUDDIN anggap PBNP ada alasan tersendiri tolak tawaran.
Zulfaizan Mansor


BEKAS Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kamaruddin Abdullah menganggap Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) tidak melakukan kesalahan selepas menolak tawaran beraksi dalam Piala AFC musim depan.

Beliau yang juga bekas pemain kebangsaan menjelaskan, PBNP ada hak untuk menolak tawaran itu kerana skuad Tok Gajah hanya ditawarkan sebagai pengganti Kedah dan bukan layak secara merit.

“Pahang pasti mempunyai alasan tersendiri menolak tawaran itu dan kita pun tidak tahu sebab utama mereka berbuat begitu sama ada faktor kewangan atau sebagainya.

“Melihat kepada keadaan itu, bagi saya Pahang tidak salah kerana mereka dipelawa dan bukan disenaraikan awal-awal lagi.

“Malah, kita tidak boleh salahkan FAM atas kegagalan Kedah mendapatkan lesen AFC sebab mereka memang tak cukup syarat dan ia tidak boleh dipertikaikan lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Pahang membuat keputusan mengejut apabila mengesahkan menolak tawaran FAM untuk bersaingan dalam kejohanan peringkat Asia itu dengan alasan mahu memberi fokus kepada saingan liga tempatan.

Selain itu, Kamaruddin tidak menafikan yang Pahang menolak tuah untuk beraksi dalam saingan lebih tinggi daripada Liga Malaysia (Liga M).

“Memang Pahang boleh di anggap sebagai menolak tuah kerana saingan Piala AFC peluang untuk memberi pendedahan lebih baik kepada pemain.

“Malah, dari segi perkembangan bola sepak, mereka mungkin terkebelakang sebab bukan senang nak dapat peluang ini dan pasukan lain juga berlumba-lumba untuk bersaing dalam Piala AFC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 8:08 PM