Asrol Awang


KELAB Penyokong Laksamana Tok Gajah yang mewakili sebahagian kelab penyokong skuad Pahang menyokong keputusan Pahang menolak tawaran beraksi pada kejohanan Piala AFC 2018.

Pengerusi kelab berkenaan, Mohd Jusri Abd Kadir (gambar) berkata, keputusan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menumpukan kepada saingan Liga Malaysia adalah tepat.

Katanya, ini memandangkan perubahan dalam skuad Tok Gajah musim 2018 dan keupayaan untuk melangkah lebih jauh yang memerlukan perancangan rapi.

“Pada masa sama, keputusan menarik diri itu juga demi menjaga nama baik dan maruah bola sepak Malaysia daripada menghantar pasukan yang belum bersedia,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, PBNP mengesahkan Pahang ditawarkan untuk menyertai Piala AFC menggantikan Kedah, menerusi surat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertarikh 9 November lalu.

Bagaimanapun, Pahang menolak tawaran itu melalui surat bertarikh 14 November lalu.

Pengesahan PBNP itu menamatkan spekulasi bahawa skuad Tok Gajah menggantikan juara Piala FA, Kedah selepas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) gagal melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan AFC.

Kali terakhir skuad Tok Gajah bersaing dalam saingan Piala AFC pada 2015 tetapi tersekat pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 4:18 PM