PASUKAN Pahang sedia rampas trofi Liga Super musim depan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
PASUKAN Pahang sedia rampas trofi Liga Super musim depan. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Asrol Awang


KUANTAN: Selepas menjulang Piala FA musim ini, skuad Pahang tidak seharusnya cepat berpuas hati dengan kejayaan meraih satu trofi, sebaliknya perlu fokus kepada cabaran lebih besar merampas trofi Liga Super.

Sehubungan itu, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) perlu membuat perancangan lebih teliti bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan yang ketika ini didominasi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Wakil kelab penyokong bola sepak Pahang, Mohd Jusri Abd Kadir berkata, selain fokus mempertahankan Piala FA, Piala Liga Super juga mesti menjadi keutamaan bagi musim 2019. 

"Skuad Tok Gajah pernah menjulang trofi Liga Super 2004. Peminat sudah tidak sabar menantikan detik Pahang akan kembali mendominasi carta Liga Super.

"Sudah 14 tahun kita terlepas peluang untuk mengucup Piala Liga Super. Musim 2019 adalah detik terbaik untuk meletakkan Pahang kembali di persada liga," katanya.

Mohd Jusri yang juga Pengerusi Kelab Bolasepak Laksamana Tok Gajah berkata, pencapaian skuad itu dalam Liga Super musim ini semakin merosot selepas berada di kedudukan keempat, berbanding tangga kedua musim lalu. 

Jadi, perancangan lebih baik perlu dilakukan terutama daripada segi pemilihan pemain import dan tempatan untuk membentuk pasukan lebih baik. 

Berdasarkan pencapaian musim ini, Pahang berjaya menjulang Piala FA, menduduki tangga keempat Liga Super dan terkandas di peringkat suku akhir Piala Malaysia. 

Namun, sehingga kini, tiada lagi kata putus berhubung status pemain yang akan beraksi bersama skuad Pahang musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 9:20 PM