HASHIM MUSTAPHA
HASHIM MUSTAPHA
Zulfaizan Mansor


LEGENDA bola sepak Kelantan, Mohd Hashim Mustapha boleh dianggap sebagai model terbaik buat pemain tempatan ketika ini selain Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Apa tidaknya, ketika pelbagai alasan mengaitkan pemain import sebagai punca kemerosotan pemain tempatan, namun tidak bagi Hashim yang berjaya muncul penjaring terbanyak Liga Perdana dua musim berturut-turut pada 1993 dan 1994 walaupun ketika itu Liga Malaysia turut menggunakan pemain import.

Lebih menakjubkan, Hashim pernah bermain penuh 90 minit dalam semua 39 perlawanan termasuk Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia pada 1994 membabitkan 3,510 minit sepanjang musim itu.

Malah, dia turut meledak 36 gol daripada 39 perlawanan itu, sekali gus membuktikan dia penyerang ‘berkaki emas’ paling digeruni pada era kegemilangannya.

“Paling penting adalah iltizam kita sebagai pemain dan disusuli dengan usaha gigih ketika latihan selain melakukan banyak latihan tambahan. Saya fikir semua pemain boleh, hanya nak atau tidak saja.

“Bila semua cukup, kita tidak akan berdepan masalah dari aspek kecergasan dan saya tidak rasa letih beraksi dalam semua perlawanan pada 1994. Memang saya ada kecederaan, tapi tidak serius dan saya paksa diri untuk beraksi.

“Jangan cakap pasal usaha saya, setiap hari saya berlatih, malah lakukan latihan tambahan termasuk memperkemaskan teknik menjaringkan gol, sepakan percuma dan tandukan,” kata Hashim yang menjadikan Mokhtar dan Dali Omar sebagai idola.

Hashim meledak 29 gol bersama Kelantan pada tahun 1994 untuk meraih kasut emas dan mengenepikan pesaing import hebat ketika itu termasuk Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards dan penyerang Sabah, Scott Ollerenshaw.

Selain mewakili negeri kelahirannya, Kelantan, Hashim juga pernah menabur bakti bersama pasukan Kedah pada tahun 1996-1997 dan Johor (1999).

Dalam pada itu, Hashim yang kini berusia 51 tahun menganggap pemain tempatan ketika ini sukar untuk bersaing dengan import sekiranya hanya mengambil sikap sambil lewa terhadap prestasi mereka.

“Jika diikutkan pemain sekarang perlu jauh lebih baik berbanding pemain dahulu kerana segala kelengkapan sudah tersedia untuk mereka selain mendapat gaji tinggi yang mencecah puluhan ribu ringgit.

“Malah, mereka juga bakal berdepan cabaran sengit kerana FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) akan menambah kuota import kepada lima musim depan dan saya fikir ia lebih menyukarkan pemain tempatan untuk mendapat tempat dalam skuad utama.

“Jadi, tiada jalan lain untuk pemain tempatan selain menggandakan usaha mereka. Bangkitlah wahai pemain Harimau Malaya kerana saya sendiri pun sedih melihat prestasi skuad kebangsaan ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 6:55 PM