HASHIM memperagakan Kasut Emas yang dimenanginya dua kali pada 1993 dan 1994. — FOTO Hashim Mustapha
HASHIM memperagakan Kasut Emas yang dimenanginya dua kali pada 1993 dan 1994. — FOTO Hashim Mustapha
Ferzalfie Fauzi


SETIAP pemenang Kasut Emas bukan hanya mahu dikenali sebagai penjaring terbanyak dan trofi yang dimenangi, malah mereka juga mahu penghargaan sewajarnya untuk dijadikan sebagai pembakar semangat generasi baru.

Perkara itu disuarakan pemenang Kasut Emas dua tahun berturut-turut, 1993 dan 1994, Hashim Mustapha apabila berasa sedikit terkilan kerana sebelum ini tidak pernah dijemput oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menghadiri Anugerah Bolasepak Kebangsaan.

“Sekurang-kurangnya saya sebagai pemenang anugerah Kasut Emas terdahulu dijemput untuk menjadi penyampai kepada pemenang. Tak pernah sekalipun saya mendapat jemputan,” kata bekas pemain Kelantan itu.

Ujarnya, walaupun anugerah itu diadakan di sekitar ibu negara, sekurang-kurangnya pemenang terdahulu wajar mendapat pengiktirafan menghadiri majlis itu dan berperanan sebagai penyampai anugerah kepada pemenang.

“Memang susah untuk mendapat anugerah Kasut Emas ini, yang mana ketika zaman saya, saingan lebih sengit dengan kehadiran penyerang import.

“Saya perlu bersaing dengan Alistair Edwards, Scott Ollerenshaw dan Abbas Saad. Bagaimanapun, saya memikirkan tugas saya ketika itu adalah sebagai penjaring gol, kalau tak menjaringkan gol saya anggap tugas saya gagal,” katanya.

Hashim menegaskan walaupun pasukannya tumpas tetapi masih mampu menjaringkan satu gol, biarlah jaringan itu hasil sumbangannya.

“Pada 1993 saya meledak 13 gol secara keseluruhan, namun saya berazam untuk mengekalkan status itu dan setahun kemudian memang rezeki memihak kepada saya malah jumlah jaringan bertambah kepada 30 gol.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 8:49 PM