Fadhli Ishak


PANDELELA Rinong (gambar) mempamer aksi membanggakan apabila memenangi acara kegemarannya di Grand Prix Terjun Australia dan kecemerlangannya itu berjaya disusuli tiga lagi penerjun negara yang menduduki tempat kedua dalam acara masing-masing, hari ini.

Pandelela memenangi acara 10 meter platform wanita individu selepas mencatat 72.00, 52.20, 70.40, 72.00 dan 52.80 untuk mengumpul keseluruhan 319.40 mata sekali gus menjulang namanya selaku juara di Pusat Akuatik Gold Coast.

Penerjun Kanada, Celina Toth menduduki tempat kedua dengan 310.20 mata manakala atlet tuan rumah, Annarose Keating (285.65) menduduki tempat ketiga.

Kimberly Bong menamatkan saingan di kedudukan keenam selepas mencatat 237.45 mata. Terdahulu, penerjun Sarawak itu bergandingan dengan Leong Mun Yee untuk memenangi perak dalam acara 10 meter platform seirama dengan catatan 287.10.

Acara itu di ungguli gandingan Australia, Melissa Wu-Taneka Kovchenko yang mengumpul 300.24 mata manakala rakan senegara, Brittany O’Brien dan Annarose menduduki tangga ketiga (281.34 mata).

Ooi Tze Liang dan Chew Yiwei turut menamatkan saingan selaku naib juara dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dengan catatan 387.00 mata.

Atlet China, Cao Yuan- Xie Siyi muncul juara dengan 420.84 mata manakala Ken Terauchi-Sho Sakai dari Jepun membawa pulang gangsa selepas mengumpul 383.01 mata.

Jellson Jabillin dan Cheong Jun Hoong turut memenangi perak dalam acara 10 meter platform seirama campuran selepas mengumpul 262.71 mata, ketinggalan di belakang wakil Great Britain, Gemma McArthur-Lucas Thomson (269.46 mata).

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Yang Zhuliang berkata, beliau berpuashati dengan prestasi Pandelela hari ini.

“Ya, China tidak menyertai acara 10 meter platform individu wanita tetapi ia tetap satu saingan yang sengit antara negara Komanwel lain,” kata Zhuliang.

“Berdasarkan kepada prestasinya di sini, dia berpeluang cerah untuk memenangi emas di Sukan Komanwel tahun depan tetapi masih terlalu awal untuk kita bergembira.

“Ini adalah acara GP kedua buat Pandelela selepas memenangi disiplin sama di GP Montreal 2012.”

Acara terjun di Sukan Komanwel tahun depan dijadualkan berlangsung di venue sama dan Zhuliang sudah meminta semua anak buahnya untuk menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan di Pusat Akuatik Gold Coast.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 7:41 PM