JUNIOR (tengah) harungi pelbagai kesukaran untuk kembali beraksi bersama JDT. -Foto fail
JUNIOR (tengah) harungi pelbagai kesukaran untuk kembali beraksi bersama JDT. -Foto fail
Aziman Rosdi dan Rizar Mohd Noor

FINAL Piala Malaysia kali ini cukup bermakna buat tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Junior Eldstal selepas dinasihatkan oleh doktor supaya bersara akibat dua kecederaan belakang slip disc yang dialaminya.

Pemain berusia 26 tahun itu mengharungi pelbagai kesukaran untuk kembali beraksi dan ternyata pengorbanannya itu berbaloi dengan kejayaan Harimau Selatan ke final bertemu Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini selepas kali terakhir pada 2014.

“Saya kena kuatkan mental, saya fikir ramai orang tidak tahu betapa banyaknya usaha dan pengorbanan saya lakukan dalam dan luar padang.

“Saya jumpa doktor pakar di England dan beliau memberitahu saya kecederaan belakang saya tidak akan sembuh semula. Saya kena bersara atau akan cedera lebih teruk, tapi saya suka bola sepak, saya mahu terus menyumbang dalam bola sepak untuk Malaysia dan JDT, jadi saya terus berusaha keras.

“Kadang-kala saya masih rasa sakit, bila 10-20 minit terakhir saya mula rasa sakit tapi saya berjaya menguruskan kecederaan ini, saya ada doktor pakar di Singapura,” katanya.

Junior kembali pulih dan mendapat kepercayaan jurulatih Ulisses Morais, September lalu apabila digandingkan bersama Fadhli Shas dan Aidil Zafuan Abd Radzak selepas pemain import Marcos Antonio ditimpa kecederaan.

Ternyata aksi pemain kebangsaan itu tidak mengecewakan dan berharap dapat diturunkan pada perlawanan akhir menentang Kedah.

“Di Malaysia tak banyak pasukan guna semua pemain tempatan di bahagian pertahanan tapi kami lakukan dalam 12 perlawanan terakhir tanpa Antonio, memang sukar tapi kami berjaya tidak dibolosi dalam beberapa perlawanan.

“Saya rasa kami ada peluang baik tapi Kedah pasukan yang baik, mereka menang Piala FA dan Piala Sumbangsih tahun ini, tapi sudah pasti ramai menjangkakan kami mampu menang dan kami tidak boleh leka, kami perlu ada keyakinan tapi tidak terlampau yakin,” katanya yang pernah memenangi Piala AFC 2015 dan Piala FA 2016 bersama JDT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 8:34 PM