IZHAM (kanan) kembali sarung jersi negara selepas diketepikan sejak Jun lalu. -Foto fail
IZHAM (kanan) kembali sarung jersi negara selepas diketepikan sejak Jun lalu. -Foto fail
Ajitpal Singh

PENGENDALI Harimau Malaya, Nelo Vingada akhirnya menemui ‘pasukan impian’ untuk aksi Kumpulan B kelayakan Piala Asia berdepan Korea Utara di Stadium I-Mobile, Buriram, Thailand pada 10 dan 13 November ini.

Beberapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kembali daripada persaraan ataupun terpinggir sebelum ini disenaraikan dalam barisan 24 pemain skuad Vingada itu.

Seramai 12 pemain JDT berada dalam senarai yang dipanggil kali ini dengan menyaksikan Izham Tarmizi Roslan, Fadhli Shas, Fazly Mazlan, Junior Eldstal, S. Kunanlan, dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham kembali memperkuatkan pasukan.

Kali terakhir Izham, Fazly, Junior dan Kunanlan mewakili negara adalah pada Jelajah Oceania, Jun tahun lalu manakala Fadhli dan Azrif pula pada perlawanan persahabatan tahun lalu.

AZRIF (tengah) kembali dipanggil perkuat skuad negara. -Foto fail
AZRIF (tengah) kembali dipanggil perkuat skuad negara. -Foto fail

Hanya penyerang Kedah, Syafiq Ahmad, Nor Azam Abdul Azih (Pahang) dan Afiq Fazail (JDT) masih belum pernah menyarung jersi senior kebangsaan.

“Saya percaya kami memiliki peluang seimbang untuk mencapai keputusan baik, tetapi ia pasti sukar kerana hanya ada tempoh rehat tiga hari sebelum perlawanan kedua.

“Saya tidak katakan bermain di Thailand memberi kelebihan kepada kami tetapi ia menyaksikan tempoh perjalanan kami lebih singkat (untuk aksi pertama),” kata Vingada.

Pemain yang tidak terbabit pada aksi final Piala Malaysia akan melaporkan diri pada Sabtu ini, manakala barisan pemain daripada JDT dan Kedah pula hanya pada Isnin ini.

Malaysia ketika ini menghuni tangga terbawah Kumpulan dengan hanya satu mata daripada tiga aksi, tetapi keputusan positif berdepan Korea akan menghidupkan semula peluang untuk merebut tempat ke Piala Asia 2019

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 9:51 PM