DIAZ akan tiba di Merseyside sebaik sahaja dia menyelesaikan tugas antarabangsa bersama Colombia. FOTO Agensi
DIAZ akan tiba di Merseyside sebaik sahaja dia menyelesaikan tugas antarabangsa bersama Colombia. FOTO Agensi
Reuters

Liverpool: Liverpool menandatangani pemain sayap Porto dan Colombia, Luis Diaz melalui perjanjian jangka panjang, selepas kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengumumkannya hari ini.

Butiran nilai perpindahan tidak didedahkan tetapi BBC melaporkan perjanjian itu dijangka bernilai €45 juta (RM210 juta), dengan maksimum €15 juta (RM70 juta) sebagai tambahan.

Diaz, yang meledak tujuh gol daripada 31 penampilan dengan Colombia, menjadi pemain pertama ditandatangani Liverpool pada jendela perpindahan Januari.

"Liverpool FC melengkapkan perpindahan Luis Diaz dari Porto FC, selepas lulus permit kerja dan pelepasan antarabangsa.

"Diaz akan tiba di Merseyside sebaik sahaja dia menyelesaikan tugas antarabangsa bersama Colombia, yang akan menentang Argentina dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia di Cordoba Rabu ini," jelas kelab berkenaan dalam satu kenyataan.

Pemain berusia 25 tahun itu menyertai Porto pada 2019 daripada Atletico Junior Colombia, menjaringkan 41 gol dalam 125 penampilan dalam semua pertandingan dan membantu mereka memenangi liga pada musim pertamanya.

Dia juga adalah penjaring terbanyak bersama di Copa America tahun lalu bersama-sama dengan Lionel Messi.

Diaz akan mengukuhkan pilihan serangan di Liverpool, yang berada di tangga kedua liga dengan 48 mata selepas 22 perlawanan, sembilan mata di belakang Manchester City yang bermain lebih satu perlawanan.

Pasukan bimbingan Juergen Klopp dijadualkan melayan kunjungan Cardiff City dalam pusingan keempat Piala FA pada 6 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 8:51 PM