Jugjet Singh di Dhaka dan Bangladesh


KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) hari ini memutuskan untuk menghantar pulang pemain tengah negara, Fitri Saari ke tanah air malam ini selepas menerima perkhabaran anaknya, Muhammad Adam Zafran yang berada di hospital kini dalam keadaan kritikal.

Keputusan untuk menghantar Fitri pulang ke tanah air disahkan oleh pengurus Nasihin Nubli Ibrahim. Jelas Nasihin selepas menerima perkhabaran itu, Fitri menyuarakan hasrat untuk pulang bagi melihat sendiri keadaan anaknya serta bersama keluarganya untuk melalui detik sukar itu.

“Kami membuat keputusan untuk menerbangkan Fitri pulang ke Malaysia malam ini. Selepas menerima berita kurang menyenangkan iaitu mengenai keadaan anak Fitri yang kritikal di hospital, dia memohon untuk pulang ke tanah air untuk melihat sendiri keadaan anaknya itu dan berada di samping keluarganya.

“Dengan situasi ini, kami berasakan keutamaan Fitri adalah berada di samping isteri serta keluarganya di Kuala Lumpur. Ini juga bermaksud Fitri akan terlepas perlawanan menentang Oman esok,” jelas Nasihin ketika dihubungi.

Dalam pada itu Nasihin juga menjelaskan keputusan sama ada Fitri perlu kembali ke Dhaka semula atau tidak bergantung kepada keadaan anaknya dan kem negara perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan sama ada Fitri kembali ke pasukan atau sebaliknya.

“Kami terbangkan Fitiri balik malam ini dan sekiranya keadaan anaknya beransur pulih serta menunjukkan tanda positif, kemungkinan Fitri akan kembali semula ke Dhaka pada 17 Oktober untuk membantu pasukan dalam pusingan Super 4.

“Bagaimanapun kami kem Malaysia perlu bersedia untuk kehilangan khidmat Fitri hingga tamat kejohanan sekiranya keadaan anaknya masih kritikal dan kami perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 7:14 PM