FITRI menunjuk gambar anaknya Muhammad Adam Zafran Mohammad Fitri, 5 bulan dimasukkan ke ICU kerana jangkitan kuman paru-paru di Hospital Serdang.  -Foto ROSELA ISMAIL
FITRI menunjuk gambar anaknya Muhammad Adam Zafran Mohammad Fitri, 5 bulan dimasukkan ke ICU kerana jangkitan kuman paru-paru di Hospital Serdang. -Foto ROSELA ISMAIL
Naqib Nor Said

Kuala Lumpur: “Kalau layak ke pentas final... saya sanggup balik hari untuk beraksi buat pasukan.” Itu kata arkitek tengah skuad hoki negara, Fitri Saari (gambar) yang terpaksa pulang dari Dhaka, Bangladesh pagi semalam susulan anaknya, Muhammad Adam Zafran, 5 bulan, yang dijangkiti virus pada bahagian paru-paru berada dalam keadaan kritikal.

“Ini adalah hasrat saya kalau mereka layak ke final,” kata Fitri ketika ditemui di perkarangan Hospital Serdang, semalam. “Saya sanggup pergi balik hari ke Dhaka dan akan bagi apa saja untuk anak saya.”

Ditanya apakah yang mendorongnya untuk pergi sekiranya keadaan anak sulungnya itu lebih baik, Fitri berkata: “Saya nak pergi sebab Malaysia tidak pernah menjuarai Piala Asia dan sudah pasti saya mahu bantu pasukan mencipta sejarah.”

Sebagai langkah awal, Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) juga sudah menempah tiket pulang ke Dhaka buat tonggak Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu seandainya keadaan Adam beransur pulih.

Namun, setakat ini, Fitri berkata keadaan anaknya itu tampak belum mengizinkan, sekali gus mungkin terpaksa melupakan aksi pusingan round robin (separuh akhir).

“Selewat-lewatnya tengahari esok (hari ini) saya akan putuskan untuk kembali ke Dhaka atau tidak, tetapi kalau masih kritikal saya akan kekal di sini sebab saya perlu mendahulukan keluarga.

“Apapun saya akan sentiasa mendoakan kejayaan pasukan dan berharap mereka bermain untuk maruah, diri sendiri dan juga buat rakyat Malaysia... Buktikan pemain hoki mempunyai semangat tinggi.”

Berhubung keadaan Adam, Fitri berkata, buat masa ini anaknya yang sudah dua bulan ditahan di Hospital Serdang masih tidak stabil dan memerlukan pemantauan rapi.

“Saya agak sedih sebab anak saya masih dalam keadaan kritikal dengan pernafasan dia begitu pantas seperti selepas berlari 100 meter. Keputusan untuk pulang pun atas arahan doktor bukannya datang daripada diri sendiri atau arahan isteri,” katanya.

Sementara itu, MHC sama sekali tidak akan memaksa Fitri untuk kembali ke pangkuan pasukan di Dhaka walaupun tidak menafikan ketiadaan tonggak tengah itu bakal menjejaskan aksi skuad negara di Piala Asia.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal menyerahkan sepenuhnya kepada Fitri untuk memutuskan apa yang terbaik buat dirinya ketika ahli keluarganya lebih memerlukannya di saat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 6:48 PM