SHAHRIL (tengah) sedang mengejar pemain Pakistan.
SHAHRIL (tengah) sedang mengejar pemain Pakistan.
Jugjet Singh

Dhaka, Bangladesh: Kehadiran semula Fitri Saari ke pangkuan skuad negara membawa tuah buat Malaysia apabila pemain itu menjana kemenangan 3-2 ke atas Pakistan di peringkat round robin Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, semalam.

Fitri muncul ‘jeneral’ pasukan di tengah padang dan walaupun gembira dengan kemenangan itu, terselit juga rasa kecewanya apabila Pakistan dilihat lebih gemar mengasarinya dan rakan sepasukan lain berbanding usaha mendapatkan bola.

“Ia perlawanan yang sukar apatah lagi selepas Pakistan bermain dengan kasar gara-gara gagal memperdayakan kami dengan skil yang cuba mereka persembahkan.

“Ia sesuatu yang amat menyedihkan kerana ini bukanlah cara sebenar permainan skuad di Asia. Semangat setia kawan dalam kalangan pemain Asia dileburkan Pakistan hanya kerana mereka mahu mendapatkan mata menerusi kemenangan,” kata Fitri.

Sebelum ini, Fitri terpaksa pulang ke Malaysia selepas mendapat khabar anaknya, Adam Zafran dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang kerana jangkitan kuman di paru-parunya namun dia kembali menjejakkan kaki ke Dhaka selepas keadaan Adam semakin stabil.

Lebih menarik, Fitri muncul wira negara menerusi gol kemenangan yang dijaringkan selepas menyempurnakan penalti.

“Saya sentiasa memantau perkembangan kesihatan Adam. Jika dia semakin pulih, saya akan terus menyumbangkan tenaga saya buat Malaysia,” katanya.

Fitri turut tercedera selepas dirempuh pemain Pakistan hingga pipinya yang luka, terpaksa dibalut bagi membolehkannya terus beraksi.

Abangnya, Faizal turut mengalami kecederaan hingga mengakibatkan mulutnya berdarah dan terpaksa dirawat di tepi padang.

Malaysia dijadual bertemu India yang berada di ranking keenam dunia hari ini dan kemenangan bakal menjamin tempat buat skuad negara ke final.

Semalam, Pakistan membuka jaringan menerusi Umar Bhutta pada minit pertama permainan dan Malaysia menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti Razie Rahim pada minit ke-10.

Namun, Pakistan kembali mendahului permainan menerusi Muhammad Yaqoob selang sembilan minit kemudian sebelum jaringan daripada Shahril Saabah (m-25) memberi nafas lega buat pasukan negara.

Fitri meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-34 menerusi pukulan penalti selepas penjaga gol Pakistan, Mazhar Abbas melemparkan ‘pad’ ke arah perut Haziq Samsul.

Haziq dibawa ke tepi padang, namun Malaysia mampu mengekalkan keputusan 3-2 bagi mencerahkan peluang untuk beraksi di pentas final.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 8:10 PM