KLOPP menyaksikan anak buahnya kalah aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu. — FOTO AFP
KLOPP menyaksikan anak buahnya kalah aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu. — FOTO AFP
AFP

JUERGEN Klopp memberi amaran kepada Liverpool awal pagi tadi mengenai saingan sengit pemain muda Chelsea sekali gus mengingatkannya kepada pasukan Borussia Dortmund yang memukau Jerman dan Eropah.

Klopp, pasukannya yang mendahului Liga Perdana Inggeris menentang Chelsea di Stamford Bridge malam esok, membina pasukan dinamik dalam tempoh tujuh tahun di Dortmund dipenuhi dengan pemain muda berbakat termasuk Mario Goetze, Nuri Sahin, Shinji Kagawa dan Robert Lewandowski.

Beliau melihat banyak persamaan antara Dortmund yang menjuarai Bundesliga dua musim berturut-turut dan layak ke final Liga Juara-Juara pada 2013 dengan cara bos Chelsea, Frank Lampard memberikan kepercayaan terhadap pemain muda Blues.

“Ia pasukan yang amat menarik, ia mengingatkan saya seketika terhadap pasukan saya di Dortmund beberapa tahun lalu apabila mereka benar-benar muda, malah lebih muda berbanding pasukan Chelsea ini,” kata Klopp.

Penyerang Chelsea, Tammy Abraham. FOTO Agensi
Penyerang Chelsea, Tammy Abraham. FOTO Agensi

“Orang sering memperkatakan mengenai betapa mudanya mereka tapi mereka hanya bermain kerana mereka bagus, mereka tidak bermain kerana mereka muda.

“Mereka membawa masuk Christian Pulisic pada musim panas dan semua pemain di sekelilingnya mempunyai nilai sama – Tammy Abraham, Mason Mount, (Callum) Hudson-Odoi.

“Satu pasukan yang bagus, saya amat menghormati mereka. Mereka boleh menjadi pencabar bagi hampir semua pertandingan.”

Graduan akademi Abraham, Mount dan Fikayo Tomori semuanya menikmati permulaan memberangsangkan dalam musim sulung Lampard mengendalikan pasukan, dengan penggantungan pembelian pemain memaksa pengurus baharu itu memberi peluang kepada pemain muda yang sukar mendapat tempat sebelum ini.

MOUNT cedera ketika menentang Valencia. — FOTO Reuters
MOUNT cedera ketika menentang Valencia. — FOTO Reuters

Abraham sudah menjaringkan tujuh gol musim ini, manakala Mount amat berharap untuk tampil hujung minggu ini selepas pulih daripada kecederaan buku lali dialami ketika kalah aksi Liga Juara-Juara di tangan Valencia, awal pagi Rabu lalu.

Liverpool menuju ke Chelsea selepas menang semua lima perlawanan pertama liga namun hanya melakar satu kemenangan di gelanggang lawan menentang enam kelab teratas dalam 12 percubaan terdahulu.

Di sebalik pujiannya terhadap trio muda Chelsea, Klopp mahu menamatkan keputusan mengecewakan menentang pasukan yang masih tercari-cari kemenangan pertama di laman sendiri di bawah kendalian Lampard.

Liverpool sendiri mengalami kemerosotan pada pertengahan minggu dalam Liga Juara-Juara, dengan kekalahan 0-2 di Napoli menyedarkan semula juara bertahan itu selepas permulaan mengagumkan bagi kempen domestik.

Namun anak buah Klopp unggul lima mata di depan juara Manchester City susulan permulaan sempurna mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 11:22 AM