KLOPP tunjuk minat kemudi kelab di England.
KLOPP tunjuk minat kemudi kelab di England.
Reuters

London: Bekas pengurus Borussia Dortmund Juergen Klopp dijangka tiba di Anfield hari ini ketika pengendali kelahiran Jerman itu semakin hampir untuk bergelar pengganti kepada Brendan Rodgers di Liverpool manakala Carlo Ancelotti tidak berminat dengan jawatan itu, lapor media British.

Klopp dilaporkan sedang mengadakan perbincangan lanjut dengan Presiden Fenway Sports Group Mike Gordon serta Ketua Eksekutif Liverpool, Ian Ayre dan beliau merancang untuk berlepas ke England bagi melengkapkan perbincangan mengenai perpindahannya itu.

Bekas pengendali Real Madrid dan Chelsea Ancelotti yang turut dikaitkan dengan jawatan itu, memberitahu wartawan beliau sedia untuk kembali bergelar jurulatih, tetapi ia akan hanya dilakukan musim depan.

“Saya sedang seronok berehat sekarang, tapi sudah tentu saya akan kembali melatih pasukan kerana ia adalah minat saya,” kata jurulatih Itali berusia 56 tahun itu di London. “Buat masa ini, saya mahu berehat dan akan bersedia untuk kembali bekerja tahun depan.”

Klopp yang pernah menjulang gelaran Bundesliga sebanyak dua kali bersama Dortmund selain turut membawa pasukan itu ke final Liga Juara-Juara 2013, tidak berselindung dengan keinginannya untuk bertugas di England.

Beliau mula membuka mata banyak pihak selepas mengemudi Dortmund yang ketika itu berdepan risiko tersingkir ke liga bawahan, melonjak selaku pencabar utama Bundesliga sejak menggantikan Thomas Doll.

Beliau meninggalkan kelab lembah Ruhr itu pada 2015 selepas tujuh tahun dengan alasan mahu berehat gara-gara anak buahnya sekadar menamatkan saingan di kedudukan ketujuh Bundesliga.

Dikenali dengan kepintaran mengatur rencana selain sering mengamalkan corak permainan pantas menerusi serangan balas, Klopp dikatakan sedia mengubah nasib Liverpool dan beliau semakin hampir untuk menandatangani kontrak tiga tahun di Anfield.

Beliau turut meminta supaya dibenarkan membawa bersamanya Zeljko Buvac serta Peter Krawietz untuk membantunya di Anfield.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 7:03 AM