SKUAD bimbingan Stephen (dua dari kiri) tekad tempah tiket final buat kali pertama. -Foto fail
SKUAD bimbingan Stephen (dua dari kiri) tekad tempah tiket final buat kali pertama. -Foto fail
Jugjet Singh

Dhaka: Malaysia dilihat berada pada satu tahap lebih baik dari aspek kecergasan, kepantasan, kemahiran dan pukulan sudut penalti manakala Korea Selatan pula pakar dalam mengatur strategi terutama bagi memenangi perlawanan penting.

Anak buah jurulatih Stephen van Huizen akan berdepan perlawanan hidup mati pada kempen Piala Asia di Dhaka, Bangladesh hari ini dan hanya keinginan akan menjadi pemisah antara mereka dengan Korea Selatan.

Malaysia turun dengan misi memburu penampilan pertama di pentas final Piala Asia selepas 10 edisi manakala Korea Selatan kini terdesak untuk menempah tiket ke Piala Dunia 2018.

Saingan separuh akhir dengan format liga sepusingan menyaksikan tiga pasukan sudah mengesahkan tempat ke Piala Dunia menerusi format Liga Hoki Dunia dan Korea Selatan perlu menjadi juara Piala Asia bagi mengikut jejak langkah Malaysia, India dan Pakistan.

“Kami membuka peluang kepada India dan terpaksa membayar harga yang tinggi (tewas 2-6). Namun, menentang Korea Selatan, ia sukar untuk diramal kerana kedua-dua pasukan turun dengan misi tersendiri.

“Saya percaya Korea Selatan akan beraksi pada tahap terbaik mereka esok (hari ini) kerana ia adalah peluang terakhir mereka untuk layak ke Piala Dunia.

“Namun, pemain saya juga bersemangat tinggi untuk layak ke final dan menjuarai Piala Asia buat kali pertama,” kata Van Huizen.

Korea Selatan sudah merangkul gelaran juara Piala Asia sebanyak empat kali manakala pencapaian terbaik Malaysia sekadar memenangi pingat gangsa di Chennai pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 5:49 PM