SOON Kit harap jurulatih yang baru dilantik mampu beri kerjasama. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
SOON Kit harap jurulatih yang baru dilantik mampu beri kerjasama. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Helmi Talkah

KETUA jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit mengakui tiga nama sudah disenarai pendek sebagai calon bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Jeremy Gan.

Soon Kit berkata, tiga nama itu sudah diserahkan kepada pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk dipanggil menghadiri sesi temu duga dalam masa terdekat.

“Saya sudah senarai tiga nama dan BAM akan panggil untuk temu duga.

Kita akan nilai semua calon itu dan buat keputusan. Kalau boleh saya memang mahu secepat yang mungkin.

“Apa yang paling penting jurulatih yang dipilih itu nanti boleh bekerjasama dengan saya dan Rosman Razak (jurulatih beregu lelaki) untuk meneruskan program yang sudah dirancang,” kata Soon Kit ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara di sini, hari ini.

Walaupun masih berahsia mengenai calon yang disenaraikan, namun difahamkan tiga bekas pemain beregu kebangsaan, Lee Wan Wah, Chew Choon Eng dan Chan Chong Ming berada dalam radar BAM.

“Siapa calon saya tidak boleh dedahkan lagi, tunggu pengumuman nanti. Seperti yang saya katakan, kalau boleh saya mahu secepat yang mungkin dan kemungkinan sebelum hujung tahun ini,” kata Soon Kit.

Ditanya sama ada lebih daripada seorang jurulatih beregu lelaki akan dibawa masuk, Soon Kit yang juga bekas pemenang pingat perak Olimpik Atlanta 1996 bersama Yap Kim Hock, tidak menolak kemungkinan itu.

Wan Wah ketika dihubungi semalam menyuarakan minat untuk melatih pemain kebangsaan jika menerima tawaran daripada BAM.

Choon Eng juga menyuarakan minat sama namun enggan mengulas lanjut kerana belum menerima tawaran atau dihubungi oleh wakil BAM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 7:09 PM