PENG Soon (kiri) and Liu Ying tinggalkan BAM.
PENG Soon (kiri) and Liu Ying tinggalkan BAM.
Helmi Talkah


KUALA LUMPUR: Beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying memberi tamparan hebat kepada arena badminton negara apabila membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

 

BAM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi memaklumkan, pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu menghantar surat peletakan jawatan mereka sebagai pemain kebangsaan pada 29 November lalu.

 

“Selepas mengadakan perbincangan dengan semua pemegang taruh, BAM menerima keputusan peletakan jawatan mereka.

 

“BAM ingin mengucapkan terima kasih kepada pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu yang turut memainkan peranan terhadap pembangunan acara beregu campuran di Malaysia.

“BAM mendoakan mereka berjaya pada masa akan datang,” kata kenyataan itu.

 

Saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Guangzhou, China yang berlangsung minggu ini adalah kejohana terakhir buat pasangan ranking nombor enama dunia itu bersama BAM.

 

Mereka gagal melangkah ke separuh akhir apabila terkandas di peringkat Kumpulan B selepas hanya berjaya melakar satu kemenangan daripada tiga perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 12:33 PM