Helmi Talkah


MORTEN Frost Hansen (gambar) menegaskan punca utama beliau meletak jawatan selaku Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah disebabkan masalah peribadi dan ia kekal menjadi rahsia peribadinya.

Frost yang menyerahkan surat peletakan jawatannya kelmarin turut menjelaskan ia tidak ada kena mengena dengan kemerosotan prestasi dialami pemain negara terutama dalam kejohanan utama tahun ini seperti Piala Sudirman (Mei) serta Kejohanan Dunia dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, bulan lalu.

“Saya tidak menyesal tapi saya sedih. Saya menyatakan masalah peribadi dalam surat peletakan jawatan saya dan ia akan kekal sebagai peribadi.

“Bagaimanapun, saya boleh katakan ia tidak kena mengena dengan keputusan tahun ini. Ini adalah sukan dan pasti ada turun dan naik.

“Kami mengharungi musim yang gemilang pada 2016 dan mungkin yang terbaik dalam sejarah BAM.

“Saya bangga menjadi sebahagian daripada kejayaan itu. Malangnya, kami mengalami sedikit kemerosotan pada 2017. Sudah pasti salah satu yang teruk tahun ini adalah kegagalan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) bermain dengan baik di Kejohanan Dunia,” kata Frost yang kali kedua meninggalkan kem skuad badminton negara selepas kali pertama melakukannya pada era 1990-an.

Semalam, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan badan induk itu menerima peletakan jawatan Frost selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

Perkembangan terbaru itu bagaimanapun menimbulkan pelbagai persoalan dengan kontrak Frost hanya akan tamat pada 2021.

Tindakan Frost mengumumkan perpisahan V Shem-Wee Kiong lebih awal dikatakan menjadi punca utama kerana beliau dilihat sudah melangkaui kuasa C&T.

Malah perselisihan faham antaranya dengan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei juga dikatakan turut menjadi alasan beliau meninggalkan BAM.

Ketiadaan Frost menyaksikan semua lima ketua jurulatih akan memberi laporan terus kepada C&T.

Ditanya sama ada ia jalan terbaik untuk badminton negara, Frost berkata: “Saya tidak pasti tapi saya fikir BAM perlu melantik pengarah teknikal baru bagi mempunyai seseorang yang berada di tengah-tengah antara ketua jurulatih dan C&T.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 1:29 PM