BAYERN wajib menang ke atas Mainz untuk tingkat momentum.
BAYERN wajib menang ke atas Mainz untuk tingkat momentum.
AFP

BERLIN: Pengendali Bayern Munich, Carlo Ancelotti berharap kemenangan ke atas Mainz dalam kempen Bundesliga, esok dapat menutup mulut pengkritiknya.

Kemenangan 3-0 ke atas Anderlecht dalam kempen Liga Juara-Juara, Selasa lalu dibayangi laporan mengatakan bilik persalinan Bayern sedang bergolak membabitkan jurulatih dengan pemain-pemain utama seperti Thomas Mueller, Franck Ribery dan Robert Lewandowski.

Sebelum kempen Eropah, juara Jerman itu tewas mengejut 2-0 kepada Hoffenheim dalam saingan domestik.

ANCELOTTI perlu tingkatkan moral pemainnya.
ANCELOTTI perlu tingkatkan moral pemainnya.

“Kami perlu lebih bermain seperti satu pasukan, dengan lebih tumpuan,” kata pertahanan Bayern, Jerome Boateng yang dijangka kembali diturunkan selepas tersisih sejak Mei lalu susulan kecederaan.

Selain Boateng, penyerang Jerman Mueller juga dijangka kembali diturunkan ke kesebelasan utama ketika Ancelotti tampak bersedia untuk melakukan penggiliran pemain selepas mengharungi kempen Eropah.

Borussia Dortmund yang menanti kunjungan Cologne, lusa juga bertekad untuk bangkit selepas dipalit kekalahan kepada Tottenham Hotspur di saingan Eropah.

Ketajaman penyerang bintang Pierre-Emerick Aubameyang kembali ditagih namun bersandarkan rekod, Cologne satu-satunya pasukan dalam Bundesliga belum ditembusi peledak itu setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2017 @ 2:17 PM