RIBERY mencampak jersi selepas dikeluarkan ketika menang 3-0 ke atas Anderlecht dalam Liga Juara-Juara.
RIBERY mencampak jersi selepas dikeluarkan ketika menang 3-0 ke atas Anderlecht dalam Liga Juara-Juara.
AFP

BERLIN: Bayern Munich menentang Paris Saint-Germain di gelanggang lawan dalam aksi paling dinantikan Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini dengan nama jolokan lama ‘FC Hollywood’ kembali menghantui kelab gergasi Bavaria itu.

Pada 1990-an, Bayern dipanggil ‘FC Hollywood’ apabila cerita luar padang bintang seperti Lothar Mathaeus dan Juergen Klinsmann sentiasa menjadi tajuk utama akhbar sama seperti kejayaan pasukan di tengah padang.

Malah jurulatih juga mencuri tumpuan apabila Giovanni Trapattoni secara terang-terangan berang terhadap pemainnya ketika sidang akhbar selepas persembahan buruk mereka.

Sejak Ottmar Hitzfeld mengemudi Bayern meraih gelaran Liga Juara-Juara 2001, ia seakan tenggelam namun sejak kebelakangan ini bersama keputusan di bawah tahap sebenar, ia kembali timbul dalam kalangan media Jerman.

Kekalahan mengejut 0-2 di Hoffenheim, kemudian seri 2-2 Jumaat lalu di laman sendiri dengan Wolfsburg apabila Bayern mensia-siakan kelebihan dua gol, tidak membantu jurulatih Carlo Ancelotti dengan pasukannya kini di tangga ketiga carta liga.

Pengendali dari Itali itu dikritik teruk.

Sikap dan komen pemain bintang seperti Thomas Mueller, Arjen Robben, Franck Ribery atau Robert Lewandowski turut menambah suasana tegang dalam pasukan.

MUELLER merungut kerana memanaskan bangku simpanan apabila Bayern menang di Werder Bremen bulan lalu. - Foto Fail
MUELLER merungut kerana memanaskan bangku simpanan apabila Bayern menang di Werder Bremen bulan lalu. - Foto Fail

Mueller merungut kerana memanaskan bangku simpanan apabila Bayern menang di Werder Bremen bulan lalu dan berkata: “Saya tidak tahu sebenarnya kualiti apa yang jurulatih mahu, tapi saya tidak diperlukan 100 peratus.”

Kemudian Ribery mencampak jersinya dalam kemarahan selepas dikeluarkan ketika menang 3-0 ke atas Anderlecht dalam Liga Juara-Juara dan Robben menyelar persembahan Bayern selepas kelab Belgium itu beraksi 80 minit dengan 10 pemain.

Lewandowski mengkritik polisi berbelanja kelab itu yang konservatif menyatakan mereka berdepan risiko ketinggalan di belakang musuh Eropah dalam apa yang dilihat mengkritik pengerusi Karl-Heinz Rummenigge dan presiden Uli Hoeness.

Kecuali mereka mencatat keputusan lebih bagus, media Jerman mula mempersoalkan berapa lama Ancelotti boleh bertahan terutama jika Bayern tewas di Paris.

“Saya mempunyai kontrak hingga 2019,” kata Ancelotti mengenai masa depannya baru-baru ini.

“Kritikan ini sudah merentasi batasan. Saya biasa dikritik tapi secara jujurnya, ia amat keterlaluan!”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 12:12 PM