WAI Kin ketika melakukan lompatan.
WAI Kin ketika melakukan lompatan.
Ferzalfie Fauzi dan Ajitpal Singh dan Syafiq Aznan


MESKIPUN sekadar meraih pingat perak bagi acara jiansu lelaki, namun atlet wushu negara Wong Wen Son tidak terkilan malah tetap gembira apabila Malaysia meraih kejayaan berganda dengan menamatkan saingan bagi acara itu pada kedudukan satu-dua.

Malah atlet kelahiran Seremban itu turut berpuas hati selepas rakan seperguruannya sendiri Yeap Wai Kin yang berjaya menggondol pingat emas sekali gus memastikan gelaran itu tidak terlepas ke tangan peserta negara lain.

“Saya sudah mencuba sedaya upaya dan hasilnya saya berjaya meraih pingat perak kali ini. Ini satu peningkatan berbanding temasya dua tahun lalu apabila saya menamatkan saingan dengan tangan kosong apabila menduduki tangga keempat bagi acara ini.

“Apapun, yang paling penting pingat emas dimenangi oleh atlet Malaysia dan kita tidak memberi pingat emas kepada orang lain. Setidak–tidaknya saya tewas dengan rakan baik saya,” katanya selepas tamat acara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

Atlet berusia 25 tahun itu mengutip 9.65 mata untuk menamatkan saingan di tangga kedua dan hanya dibezakan 0.02 mata dengan Wai Kin yang cemerlang dengan 9.67 mata sementara pingat gangsa dibawa pulang Fung Jin Jie dari Singapura dengan 9.48 mata.

Pada masa sama Wen Son juga enggan terlalu memikirkan mengenai acara itu dengan tumpuannya kini terarah bagi satu lagi acara yang akan dihadapinya iaitu qiangsu lelaki yang akan dijadual berlangsung esok.

“Acara jianshu sudah berakhir dan saya perlu fokus bagi acara kedua esok. Berbekalkan semangat dan kejayaan hari ini, saya pasti dapat memberi yang terbaik terutamanya selepas menjalani persiapan rapi sebelum ini.

“Acara ini juga boleh menjadi medan untuk saya menebus kekecewaan hari ini dan inilah peluang untuk saya membuktikannya.

“Gementar memang ada tapi jurulatih sering mengingatkan saya supaya yakin dengan kemampuan diri dan serlahkan apa saja yang ditunjukkan pada sesi latihan ketika memasuki gelanggang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 12:57 PM