TEVEZ gembira kembali sertai Boca Juniors. -Foto Agensi
TEVEZ gembira kembali sertai Boca Juniors. -Foto Agensi
AFP

BUENOS AIRES: Penyerang Argentina Carlos Tevez menyifatkan kontraknya di kelab China Shanghai Shenhua sebagai ‘percutian’ sebaik kembali ke kelab lamanya Boca Juniors buat kali ketiga minggu lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu dikritik hebat di China apabila gagal mempamer aksi diharapkan selepas Shenhua dilaporkan menjadikannya pemain yang menerima gaji mingguan termahal dunia iaitu 730,000 euro (RM 3.99 juta) seminggu.

“Semuanya baik kerana saya bercuti selama tujuh bulan,” guraunya dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Argentina TyC Sports semalam.

Tevez hanya menjaringkan empat gol di liga China itu dan tidak beraksi bersama pasukannya yang memenangi perlawanan akhir saingan piala, malah jurulatihnya Wu Jingui menggelarkannya sebagai “terlalu berat” sewaktu mengambil alih pasukan pada September.

Namun bekas penyerang Manchester United dan Manchester City kembali ke Boca, di mana dia menyertai kelab itu pada 2001-2004 dan 2015-2016.

“Sebaik mendarat di China , saya mahu kembali ke Boca,” kata Tevez.

“Sepatutnya ia satu persinggahan yang mudah (di China), tenang, di tempat yang istimewa dengan jersi nombor 10 dan menjadi idola di kelab itu.

“Apa yang mereka katakan jika saya bermain dengan teruk atau tidak bermain kerana kecederaan? Mereka katakan ‘Tevez tidak bagus’ dan itu saja.”

Legenda Argentina Diego Maradona, yang juga pernah mewakili Boca, berkata beliau gembira dengan kepulangan Tevez ke kelab lamanya.

“Semua peminat Boca gembira.” beliau dilaporkan sebagai berkata oleh televisyen Argentina awal bulan ini.

“Dia mendapatkan sejumlah wang dan kembali ke Boca. Ia sempurna.”

Tevez berharap dapat mengakhiri penantian Boca selama 11 tahun untuk menjulang gelaran Copa Libertadores apabila kejohanan di Amerika Selatan bermula minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 11:31 AM