GHADDAR (kiri) melakukan percubaan ke gawang Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.
GHADDAR (kiri) melakukan percubaan ke gawang Sarawak dalam saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Ulisses Morais tidak mahu pemain pasukan itu terlalu selesa dengan kedudukan tangga teratas Liga Super kerana masih ada ranjau yang berliku menanti skuad Harimau Selatan.

Malah katanya, walaupun melakar kemenangan 3-1 menewaskan Sarawak pada aksi di Stadium Larkin tetapi masih ada baki enam perlawanan yang getir menanti skuad itu.

Beliau berkata, senario mencemaskan hadir pada babak kedua selepas Sarawak bangkit menyamakan jaringan 1-1 pada babak kedua dan ia boleh dielak jika pemain tidak leka dan sentiasa fokus dalam perlawanan itu.

“Saya tahu mereka panik apabila Sarawak menjaringkan gol penyamaan dan saya mengarahkan setiap pemain supaya tidak beraksi dalam tekanan dan kembali fokus malah mengelak daripada membuat kesilapan. Pemain kembali fokus dan kami terus beri tekanan kepada lawan untuk mencipta kemenangan.

“Di atas kertas, kami selesa berada di tangga teratas namun kami tidak boleh ambil mudah kerana dalam bola sepak apa saja boleh berlaku jika kita tidak beri sepenuh tumpuan pada baki enam perlawanan.

“Selagi saingan liga belum tamat, kami harus bekerja keras untuk mengekalkan momentum dan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan rentak kemenangan sehingga ke penghujung saingan liga,” katanya.

Ditanya mengenai corak permainan Mohammed Ghaddar yang menjaringkan dua gol bagi membantu Johor DT melakar kemenangan dan penampilan Hasbullah Abu Bakar beraksi di posisi bek kiri, pengendali dari Portugal itu menganggap ia semua hasil kerjasama berpasukan yang dibentuk bagi menghadapi perlawanan itu.

Ghaddar memain peranan selaku penyerang dan berjaya menterjemahkan peluang yang diperoleh dengan dua gol yang amat penting buat Johor DT dan Hasbullah mengikut arahan taktikal beraksi di posisi yang jarang sekali pemain itu beraksi.

“Dalam skuad Johor DT, kami tidak boleh memandang kepada individu tertentu saja kerana kami tidak boleh mengabaikan pemain lain yang juga bekerja keras sepanjang 90 minit. Itulah situasi yang berlaku dalam setiap perlawanan,” kata Morais.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 2:27 PM