HANYA soal gaji jadi penghalang hasrat Rooney ke Everton.
HANYA soal gaji jadi penghalang hasrat Rooney ke Everton.
Agensi

London: Wayne Rooney yang pernah dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan jaringan buat Manchester United, tidak diberi peranan besar oleh pengendali Jose Mourinho musim lalu dan dia hanya turun selaku pemain utama sepanjang 15 aksi Liga Perdana.

Selepas perlawanan akhir Liga Europa menentang Ajax, Rooney, 31, mengaku bahawa sudah sampai masanya untuk dia memikirkan soal perpindahan ke kelab lain.

Justeru, bukan sesuatu yang menghairankan apabila dia memilih untuk kembali ke Everton - kelab yang bertanggungjawab mengesan bakatnya ketika remaja.

Dan, hanya soal gajinya yang sebanyak £250,000 (RM1.38 juta) seminggu yang mengakibatkan perbincangan mengenai perpindahannya itu tergantung.

Tetapi, akhbar Daily Mirror melaporkan, usahanya untuk keluar dari Old Trafford berjalan lancar dan penasihatnya sedang menjalankan kerja akhir untuk merealisasikan perkara itu.

Difahamkan, mereka sedang berusaha untuk melaksanakan proses perpindahan itu secara tetap menerusi kontrak dua atau tiga tahun berbanding dipinjamkan.

Dan pemain itu sendiri percaya bahawa aksi di kelab Merseyside itu akan membantunya merebut kembali tempat di dalam skuad kebangsaan England.

Nama Rooney di dalam skuad Three Lions semakin tercicir sejak Gareth Southgate menjadi pengurus.

Kali terakhir dia beraksi di peringkat antarabangsa ialah pada November 2016 apabila England menang 3-0 ke atas Scotland di Wembley.

Dia gagal menempatkan diri ke dalam pasukan dan tempatnya diambil alih Harry Kane.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 3:47 AM