BARISAN pemain negara meraikan gol ketika berdepan China. -FOTO Hockey India
BARISAN pemain negara meraikan gol ketika berdepan China. -FOTO Hockey India
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki lelaki negara tidak akan menukar rentak permainan apabila berdepan tugas getir bertemu gergasi Asia, India pada perlawanan ketiga Trofi Liga Juara-Juara Asia di Chennai, India, esok dalam usaha memburu tiket ke separuh akhir.

Sebaliknya pengendali skuad negara, A Arulselvaraj menegaskan, barisan pemainnya akan beraksi mengikut gaya permainan sendiri dalam usaha untuk meneruskan aksi konsisten mereka selepas meraih dua kemenangan, iaitu ke atas Pakistan serta China.

India adalah salah satu daripada sembilan pasukan gergasi beraksi di saingan Pro League yang menawarkan tiket ke Piala Dunia serta Sukan Olimpik.

"Seperti yang kita tahu, mereka adalah pasukan yang beraksi di Pro Legue di mana prestasi mereka agak melonjak, tetapi kami akan fokus kepada prestasi sendiri di atas padang.

"Kami akan melakukan persiapan dengan sebaik-baiknya dan beraksi dengan cara yang kami mahukan.

"Barisan pemain tidak akan menukar rentak permainan apabila bertemu India, sebaliknya akan mengikut rentak permainan sendiri iaitu rentak Malaysian Tigers," katanya.

Mengulas kemenangan 5-1 ke atas China semalam, Arul mengakui puas melihat barisan pemainnya menguasai perlawanan dan menyempurnakan tiga daripada empat pukulan sudut penalti dengan baik.

"Satu perlawanan yang menyaksikan kita menguasai perlawanan serta memanfaatkan peluang pukulan sudut penalti. Pemain akan memanfaatkan tempoh rehat untuk memulihkan emosi, fizikal dan mental mereka. Pasukan perubatan akan memantau situasi mereka," katanya.

Pada perlawanan semalam, China mencetuskan resah kepada skuad negara apabila di depan seawal minit ke-4 menerusi gol padang Chongcong Chen namun penyerang sensasi negara, Faizal Saari menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti minit ke-11.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meletakkan Malaysia di depan empat minit selepas itu, juga menerusi pukulan sudut penalti.

Penyerang negara, Muhammad Firhan Ashaari yang meledak dua gol ketika menewaskan Pakistan 3-1, turut berjaya menyumbang dua gol padang pada perlawanan semalam di minit ke-45 dan 49.

Pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan melengkapkan hari sempurna untuk skuad negara apabila menyumbang gol kelima minit ke-57.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 12:40 PM