myMetro

Kuala Lumpur: Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berharap beregu utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi di Terbuka Australia bermula Selasa ini yang menjadi sebahagian persiapan ke Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan.

Kedua-dua pemain itu diberi lampu hijau untuk bermain di saingan bertaraf Siri Super itu selepas tidak beraksi di Terbuka Indonesia yang berlangsung ketika ini kerana kecederaan.

Kecederaan belakang V Shem serta lutut kiri yang membelenggu Wee Kiong menjadi punca utama kedua-dua pemain itu gagal menyerlah sekali gus mengalami kemerosotan prestasi sejak kebelakangan ini.

“Terbuka Indonesia bukan sesuatu yang baik untuk mereka berdua beraksi. Selepas itu V Shem-Wee Kiong menyambung proses pemulihan dan menjalani latihan seperti biasa.

“Sekarang nampak keadaan mereka semakin baik dan dilihat sudah bersedia beraksi di Australia.

“Tapi kami akan terus memantau keadaan mereka bagi mengelakkan kecederaan itu berulang kerana bimbang akan menjejaskan peluang untuk ke Glasgow,” katanya.

V Shem-Wee Kiong yang memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Rio akan bertemu pasangan Jepun Takuto Inoue-Yuki Kaneko di pusingan pertama dan berkemungkinan berdepan cabaran Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet pada pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2017 @ 4:37 AM