TERBUKA Jepun merupakan aksi sulung V Shem (depan) dan Wee Kiong selepas memenangi perak di Rio.
TERBUKA Jepun merupakan aksi sulung V Shem (depan) dan Wee Kiong selepas memenangi perak di Rio.

Kuala Lumpur: Cuba yang terbaik di Terbuka Jepun. Itu nasihat jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan menjelang aksi sulung Goh V Shem-Tan Wee Kiong hari ini selepas meraih perak di Sukan Olimpik Rio bulan lalu.

Jeremy mengakui persiapan kedua-dua anak buahnya itu memang sedikit terganggu sebaik pulang dari Rio apabila perlu menghadiri pelbagai majlis keraian serta penyerahan insentif namun ia bukan alasan untuk tidak memberikan aksi terbaik di Jepun.

“Saya rasa persiapan mereka kurang menyeluruh untuk Terbuka Jepun kerana pelbagai majlis dan hanya berlatih dalam tempoh seminggu saja. Bagaimanapun, saya mahu mereka cuba berikan aksi terbaik,” kata Jeremy.

Hari ini, V Shem-Wee Kiong yang diletakkan selaku pilihan kelima kejohanan bakal turun ke gelanggang untuk aksi pusingan pertama Terbuka Jepun dan bertemu wakil Thailand, Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet.

“Saya mahu mereka beraksi dengan baik. Sebagai pemain apabila masuk ke dalam gelanggang kita mahukan yang terbaik dari mereka.

“Tidak kira sama ada persiapan mereka bagus atau tidak tetapi apabila main kita mahukan kemenangan. Saya merasakan dari segi mental mereka sedikit terjejas kerana sebelum ini perlu menyesuaikan diri dengan menghadiri majlis keraian dan latihan,” kata Jeremy.

Dalam masa sama, Jeremy juga mahu V Shem-Wee Kiong melayakkan diri ke Siri Super Akhir di Dubai hujung tahun ini dengan memperbaiki ranking semasa dan berjaya menempatkan diri untuk Kejohanan Dunia tahun depan.

Turut beraksi hari ini di pusingan pertama Terbuka Jepun, adalah Datuk Lee Chong Wei bertemu Boonsak Ponsana dari Jepun, manakala Iskandar Zulkarnain Zainuddin akan melayan HS Prannoy dari India.

Beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei pula akan bertemu Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun dan beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menentang wakil England Matthew Nottingham-Emily Westwood.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2016 @ 9:53 AM