Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke separuh akhir Grand Prix (GP) Emas Terbuka Switzerland selepas mengalahkan Takuto Inoue-Yuki Kaneko dari Jepun di suku akhir, semalam.

Mereka mengambil masa 39 minit untuk mencatat kemenangan straight set 23-21, 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung di St Jakobshalle.

V Shem-Wee Kiong yang diletakkan sebagai pilihan keenam bakal berentap sama ada dengan Gideon Markus Fernaldi-Kevin Sanjaya Sukamuljo (Indonesia) atau Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen (Denmark).

Menurut ketua jurulatih beregu negara itu, walaupun anak buahnya itu mara ke separuh akhir, ia masih belum sampai tahap terbaik.

“Kemenangan ini terhasil apabila mereka lebih konsisten dalam gelanggang berbanding pemain lawan,” katanya.

Jelasnya, pergerakan V Shem-Wee Kiong di dalam gelanggang dan idea harus diperbaiki.

“Mereka harus fokus terhadap dua perkara itu jika berazam untuk mara lebih jauh dan meraih kejayaan sulung tahun ini,” katanya yang juga bekas pemain kebangsaan.

Sementara itu, perjuangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying berakhir pada pusingan kedua kelmarin apabila mereka kalah 17-21, 19-21 kepada pilihan keempat dari Indonesia, Riky Widianto-Puspita Richi Dili.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:23 AM