V Shem dan Wee Kiong (kiri) menang tiga set. FOTO SCANPIX DENMARK
V Shem dan Wee Kiong (kiri) menang tiga set. FOTO SCANPIX DENMARK
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pasangan utama beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berjaya merangkul kejuaraan sulung Siri Super Perdana apabila menumpaskan wakil Thailand, Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet dalam perlawanan akhir Terbuka Denmark malam ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terpaksa berhempas-pulas sebelum mencatat kemenangan 14-21, 22-20, 21-19 dalam aksi yang berlangsung di Odense Sports Park.

Ini adalah kejuaraan kali kedua V Shem-Wee Kiong untuk tahun ini apabila mereka berjaya muncul juara di Grand Prix (GP) Emas Terbuka India Januari lalu.

Mereka yang mula digandingkan pada Piala Thomas 2014 di New Delhi pernah muncul juara GP Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu dan meraih pingat gangsa Sukan Asia Incheon 2014.

Kemenangan ini berjaya menebus kekecewaan Jumaat lalu apabila pemain badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Wira Lee Chong Wei kalah mengejut kepada Brice Leverdez dari Perancis 17-21, 22-20, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Oktober 2016 @ 11:45 PM