Kuala Lumpur: Jurulatih skuad bawah 22 tahun negara (B-22) Datuk Ong Kim Swee menegaskan tempat pemain dalam skuadnya tidak terjamin andai gagal memberikan prestasi baik dalam siri jelajah ke China bermula 8 Jun depan.

Pengendali berusia 47 tahun itu berkata, 22 pemain yang bakal diuji dalam tiga aksi persahabatan di China akan digugurkan serta-merta andai gagal menepati tahap beliau diinginkan.

“Daripada 26 pemain yang menjalani latihan, saya akan menggugurkan empat sebelum ke China. Saya berharap pemain dibawa nanti dapat memberikan aksi terbaik dalam perlawanan antarabangsa kerana jika tidak, saya akan gugurkan mereka sebaik pulang ke tanah air.

“Saya mempunyai 45 pemain kesemuanya dan akan panggil baki pemain ini untuk mengisi tempat mereka yang digugurkan bagi menjalani latihan serta aksi persahabatan dalam tempoh seminggu sebelum kem latihan berakhir,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kim Swee, bekas jurulatih kebangsaan memulakan latihan pertamanya dengan skuad B-22 kelmarin sebaik mengambil alih tugas jurulatih daripada pengendali Jerman Frank Bernhard.

Selepas berlatih 10 hari di Wisma FAM, skuad muda negara yang dalam persiapan menghadapi Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Ogos ini akan berlepas ke Xiangtan, China untuk menentang skuad B-22 China, 10 Jun depan.

Kemudian mereka akan berdepan skuad simpanan Guangzhou R&F pada 11 Jun dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande (13 Jun) di Guangzhou.

Selain Sukan SEA, pasukan ini juga memiliki misi penting di pusingan kelayakan Kejohanan B-23 AFC di Bangkok, Julai depan.

“Penilaian sebenar pemain apabila kita berada di China nanti tapi apa yang penting latihan selama 23 hari ini adalah peluang terbaik saya membentuk pasukan menjelang kejohanan,” kata Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 9:08 AM