Woon Khe Wei (kiri) dan Vivian Hoo gagal menewaskan beregu wanita Jepun. FOTO AFP
Woon Khe Wei (kiri) dan Vivian Hoo gagal menewaskan beregu wanita Jepun. FOTO AFP
Aida Adilah Mat


TAMAT sudah perjuangan skuad badminton negara di saingan Piala Sudirman di Pusat Sukan & Rekreasi Gold Coast, Australia apabila tewas sekali lagi kepada Jepun 1-3 pada peringkat kalah mati, hari ini.

Pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang turun dalam perlawanan pertama tumpas kepada Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 17-21, 21-16, 11-21.

Malaysia ketinggalan 0-2 apabila perseorangan wanita, Soniia Cheah tumpas kepada Nozomi Okuhara 11-21, 9-21.

Mata tunggal negara dihadiahkan oleh pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei apabila mengalahkan Kenta Nishimoto 21-15, 21-13.

Jepun mengesahkan kemenangan ke atas Malaysia apabila beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei kalah kepada pemenang pingat emas Olimpik Rio Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi 7-21, 14-21.

Jepun akan berdepan juara 10 kali China yang menewaskan India dalam satu lagi saingan suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 4:46 PM