HAMILTON  meraih empat petak pertama dan empat kemenangan berturut-turut di litar itu. FOTO/AFP
HAMILTON meraih empat petak pertama dan empat kemenangan berturut-turut di litar itu. FOTO/AFP
AFP

MONTREAL: Lewis Hamilton kembali ke litar kegemarannya hujung minggu ini apabila dia berhasrat melebarkan penguasaan kejuaraan dunia dengan kejayaan ketujuh pada Grand Prix Kanada.

Juara dunia empat kali itu yang mengatasi pencabar dan juara dunia empat kali Sebastian Vettel dengan 14 mata selepas enam perlumbaan, meraih kemenangan pertamanya di Formula Satu di Litar Gilles Villeneuve pada 2007.

Sejak itu Hamilton menambah lima lagi kemenangan termasuk hatrik kemenangan Mercedes pada 2015, 2016 dan 2017 untuk menjadi pemandu pertama meraih empat petak pertama dan empat kemenangan berturut-turut di litar itu.

Kejayaan Hamilton dari petak pertama tahun lalu membolehkannya menyamai pencapaian juara tiga kali Ayrton Senna dengan 65 petak pertama, satu pencapaian yang membolehkannya menerima topi keledar yang dipakai pelumba Brazil itu daripada keluarga Senna.

Kegembiraan itu mengesahkan penguasaan hebat Hamilton di Montreal namun dia berdepan cabaran hebat daripada pencabarnya hujung minggu ini ketika pasukan pendahulu menggunakan enjin kedua mereka yang ditambah baik musim ini.

Ketua pasukan Mercedes, Toto Wolff berkata: “Kami menjangkakan beberapa pasukan menggunakan unit kuasa kedua mereka, termasuk semua kereta Mercedes. Kami berusaha mendapatkan prestasi lebih baik secepat mungkin.

“Kami boleh melihat kedudukan yang lebih kuat dalam kedua-dua kejuaraan berbanding tahun lalu, namun sedar pertarungan sengit antara kami, Ferrari dan Red Bull setiap minggu.”

Seperti Mercedes, kedua-dua Red Bull dan Ferrari juga dijangka menggunakan enjin baru, namun pengarah teknikal Red Bull, Adrian Newey tidak meletak sebarang harapan, mungkin disebabkan juara Monaco itu dikenakan penalti grid kerana pertukaran teknikal unit kuasa yang lain.

Newey membayangkan Renault akan mendapatkan kelebihan 0.1 saat setiap pusingan di litar yang memberi kelebihan buat Mercedes namun Wolff memberi amaran ‘prestasi lalu bukan jaminan kejayaan tahun ini’.

“Kami perlu pastikan, kami mendapat manfaat sepenuhnya daripada semua jenis tayar termasuk ‘hyper-soft’ jika mahu menjuarai perlumbaan.”

Pasukan itu bergelut dengan penggunaan tayar ‘hyper-soft’ di Monte Carlo sewaktu pusingan kelayakan, namun pendekatan strategik mereka membolehkan Hamilton menamatkan perlumbaan di tangga ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 12:00 PM