HAMILTON meraikan kemenangan di Litar Monza sekali gus menyamai rekod Schumacher. -Foto EPA
HAMILTON meraikan kemenangan di Litar Monza sekali gus menyamai rekod Schumacher. -Foto EPA
Reuters

MONZA (Itali): Juara dunia formula satu (F1), Lewis Hamilton secara sinis menegaskan, sokongan padu penyokong Itali yang mahu melihat pesaingannya, Ferrari menang di laman sendiri langsung tidak melemahkan semangat juangnya, bahkan menjadikan dia semakin kuat.

Pemandu Mercedes itu menang di Litar Monza dan menyamai rekod pencapaian legenda F1, Michael Schumacher apabila menjuarai Grand Prix (GP) Itali buat kali kelima berturut-turut dan menambah lagi luka kekecewaan buat Ferrari di kubu kuat mereka, pagi tadi.

“Hari ini begitu sukar. Persekitaran yang negatif itu bukan sesuatu yang bagus, tapi ia menjadikan saya kuat. Saya terimanya,” kata Hamilton yang diejek ketika di atas podium oleh penonton membakar suar dan mengibarkan bendera mereka.

“Saya suka berada di Itali. Litarnya luar biasa dan adalah satu penghormatan apabila menang di sini di hadapan penyokong yang ramai seperti itu,” katanya secara sinis.

Hamilton dan pesaing utama dari Ferrari, Sebastian Vettel bertembung di selekoh keempat pusingan pembukaan dengan kereta pelumba Jerman itu berpusing, sementara pelumba Britain mengambil kesempatan untuk memecut apabila keretanya yang dipandunya itu tidak mengalami kerosakan.

Vettel kemudian bangkit dari kedudukan tempat ke-18 untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan kini ketinggalan 30 mata di belakang Hamilton ketika saingan berbaki tujuh perlumbaan.

Manakala rakan pasukan Vettel, Kimi Raikkonen mengakhiri perlumbaan di kedudukan kedua selepas bermula dari petak utama apabila mempamerkan aksi mengagumkan dengan rakan pasukan Hamilton, Valtteri Bottas dari Mercedes, ketiga.

Kemenangan dalam aksi penuh mendebarkan itu adalah kejayaan kelima berturut-turut buat Mercedes di Monza, litar yang dibina berhampiran bekas taman diraja berhampiran Milan.

“Anda juara, andalah lelaki itu,” kata jurutera Hamilton, Peter Bonnington menerusi radio selepas bendera penamat dikibarkan. “Anda menguasai litar hari ini.”

“Ia adalah satu kejayaan yang paling hebat pernah saya rangkul dan akan diingati,” kata Hamilton.

Namun bagi Ferrari, ia adalah kegagalan yang sukar diterima mereka membabitkan perlumbaan berkuasa tinggi di tempat sendiri.

Kali terakhir mereka memenangi perlumbaan di sini adalah pada 2010 dan dan perasaan kecewa itu tidak dapat disembunyikan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 9:58 AM