AFP

Budapest: Lewis Hamilton (gambar) akan bercuti pada musim panas kali ini dengan penuh bangga di puncak kedudukan pemandu kejuaraan Formula Satu dunia jika menang dengan rekod kali keenam pada Grand Prix Hungary hujung minggu ini.

Juara dunia tiga kali itu juga boleh menyamai pencapaian juara tujuh kali Michael Schumacher dengan kemenangan petak utama kali ke-68, jika dia menghasilkan satu lagi persembahan mengagumkan sepusingan buat Mercedes pada sesi kelayakan esok.

Pemandu Britain berusia 32 tahun itu, satu mata di belakang pendahulu Sebastian Vettel dari Ferrari selepas 10 daripada 20 perlumbaan tahun ini, sudah menang dengan rekod lima kali di litar Hungaroring yang sempit, perlahan, berdebu dan teknikal itu.

Selepas persembahan mengagumkan ketika mendominasi Grand Prix British, Hamilton akan hadir dengan penuh keyakinan namun tetap berwaspada berikutan peringatan daripada rakan sepasukannya di Mercedes, Valtteri Bottas.

Pemandu Finland itu, yang membuktikan dia menyukai litar sebegitu tahun ini, terutama selepas memenangi Grand Prix Russia di Sochi, memberi amaran kepada pasukannya supaya tidak mempercayai kemenangan satu-dua di Silverstone menandakan mereka sudah mengatasi Ferrari.

“Kami tidak boleh memikirkan bahawa kami lebih pantas,” kata Bottas.

“Kami tidak mahu melakukannya. Kami mahu merendah diri, mahu memikirkan mampu meningkatkan keupayaan kereta.

“Itulah hakikatnya kerana kami berdepan litar berkelajuan tinggi dalam dua perlumbaan terakhir. Baku amat istimewa tapi perlumbaan berikutnya di Budapest terlalu berbeza.

“Ia mempunyai selekoh yang perlahan, suhu yang amat tinggi, jadi kami tidak boleh terlalu yakin di sana. Kami sedar kami masih perlu melakukan sesuatu dan banyak perkara perlu ditingkatkan.”

Peringatan Bottas kena tempatnya ketika pemandu Jerman, Vettel dan Ferrari sudah pasti mahu bangkit dan fokus untuk menyekat Hamilton dan Mercedes daripada meraih sebarang kelebihan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 9:57 AM