HAMILTON julang trofi GP Abu Dhabi.
HAMILTON julang trofi GP Abu Dhabi.
AFP

Abu Dhabi: Lewis Hamilton merangkul gelaran dunia kedua dan muncul pemandu British paling berjaya dalam tempoh 46 tahun apabila memenangi perlumbaan penutup musim, Grand Prix Abu Dhabi malam tadi.

Pelumba berusia 29 tahun yang menjulang gelaran dunia pertama bersama McLaren pada 2008, bukan sekadar memenangi perlumbaan 55 pusingan itu malah dia turut menamatkan saingan peribadi rakan sepasukannya di Mercedes Nico Rosberg yang terpaksa berdepan masalah enjin walaupun memulakan aksi di petak utama.

Selepas mendahului pelumba lain pada kelayakan - permulaan dari petak utama buat kali ke-11 musim ini - Rosberg gagal mempertahankan kelebihan ketika Hamilton tenang mengambil setiap selekoh untuk mendominasi perlumbaan.

Kejayaan itu adalah yang ke-11 buat Hamilton musim ini dan yang ke-33 sepanjang kariernya. Dia juga menghadiahkan kemenangan ke-16 buat pasukan Mercedes musim ini.

Rosberg sekadar menamatkan perlumbaan di tangga ke-14.

Ketika Hamilton menjerit kegembiraan - “Whoooah juara dunia - Oh Tuhan, sukar untuk dipercayai - terima kasih semua” - Putera Harry membalas menerusi radio pasukan: “Terima kasih Lewis kerana tidak mengecewakan rakyat Britain, awak adalah legenda.”

Hamilton muncul pemain Britain keempat yang menang lebih daripada satu kejuaraan dan namanya kini sebaris dengan Jackie Stewart, Jim Clark serta Graham Hill - pelumba terakhir yang berjaya pada 1968.

Rosberg bergelut dengan masalah yang menjejaskan prestasi jenteranya tetapi enggan menyerah kalah ketika perlumbaan berbaki dua pusingan.

“Saya tetap mahu menamatkannya,” kata Rosberg.

Hamilton menamatkan perlumbaan 2.5 saat lebih pantas berbanding Felipe Massa dari Williams serta rakan sepasukannya, Valterri Bottas yang menduduki tempat ketiga.

Pemandu Australia Daniel Ricciardo di tempat keempat bersama Red Bull diikuti Jenson Button, Nico Hulkenberg dan Sergio Perez.

Juara dunia empat kali, Sebastian Vettel di tangga kelapan diikuti Fernando Alonso serta Kimi Raikkonen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:01 AM