KHAIRY  (dua dari  kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemain badminton negara  sambil  disaksikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kanan).
KHAIRY (dua dari kanan) menyerahkan Jalur Gemilang kepada pemain badminton negara sambil disaksikan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kanan).
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Ini masa terbaik untuk badminton negara meraih gelaran acara berpasukan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata demikian ketika merujuk kepada skuad Piala Sudirman yang akan berlepas ke Gold Coast, Australia hari ini.

Menurutnya, kejayaan mungkin boleh diraih walaupun sasaran diletakkan ke atas Datuk Lee Chong Wei dan pemain lain adalah mara sehingga separuh akhir.

“Seperti apa yang saya katakan kepada pemain apa saja boleh berlaku, jadi saya harap mereka mampu memberikan aksi terbaik. Kalau kita tengok dua edisi terakhir Piala Thomas sebelum ini, Malaysia berjaya muncul naib juara dan mara separuh akhir,” katanya selepas mengadakan perjumpaan bersama skuad Piala Sudirman di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, skuad badminton negara dianggap berjaya dalam dua edisi berturut-turut Piala Thomas sebelum ini dan semakin hampir meraih kejuaraan berpasukan.

“Kalau tidak Piala Sudirman tahun ini mungkin Piala Thomas akan datang. Kita juga mempunyai pemain wanita dalam kelompok besar kali ini, sebelum ini tidak.

“Bagaimanapun, saya mahu mereka semua sedar negara lain juga akan bangkit seperti Jepun, Denmark dan sudah tentu China. Tidak dilupakan Korea Selatan dan Indonesia,” kata Khairy.

Dalam pada itu, beliau tidak bimbang mengenai prestasi kurang konsisten beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu wanita, Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

“V Shem-Wee Kiong sendiri tahu musuh utama adalah konsistensi. Mereka boleh jadi nombor satu dunia atau tersingkir di pusingan pertama.

“Saya percaya mereka mampu memberikan yang terbaik kerana sudah dibuktikan sebelum ini apabila muncul juara Siri Super Akhir, meraih perak Olimpik dan menjadi pasangan nombor satu dunia. Saya juga mahu pemain lain contohnya dalam perseorangan lelaki seperti Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan lain-lain mengambil peluang.

“Buktikan kita masih ada pemain yang boleh diharapkan selepas Chong Wei. Pasangan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing harus mengambil peluang dan buktikan Malaysia masih ada gandingan terbaik di peringkat tertinggi. Goh Jin Wei (perseorangan wanita) pula harus sedar ini masa terbaik buatnya,” katanya.

Skuad negara akan memulakan kempen Piala Sudirman dengan menentang Jerman, Selasa depan dan melengkapkan saingan Kumpulan 1C bertemu Jepun pada hari berikutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 8:53 AM