Kota Bharu: Penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar (gambar) menafikan dirinya ‘diperdagangkan’ Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) dengan nilai tebusan jutaan ringgit kepada pasukan tertentu kerana mahu melunaskan hutang.

Sebaliknya, bagi Ghaddar, nilai setinggi RM2 juta itu diletakkan KAFA kerana mungkin tidak mahu melepaskannya menyertai pasukan lain.

Bagaimanapun, Ghaddar tetap dengan keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain kerana mahu mengubah nasib dan ia dibuat atas kerelaan hatinya tanpa membabitkan mana-mana pihak.

Ghaddar berkata, agak perit untuknya membuat keputusan itu, namun demi masa depan karier dan keluarganya, dia terpaksa lakukan.

Katanya, dia sedar pasti menjadi mangsa tohmahan dan cacian penyokong atas keputusan itu kerana sebelum ini, dia pernah meluahkan hasrat mahu kekal bersama Kelantan.

“Ini bukan soal gaji enam angka atau sebaliknya. Saya seorang pemain profesional dan ada masa depan. Saya ada keluarga. Jika kita tidak mengubah kehidupan ini, siapa yang sanggup lakukannya.

“Maafkan saya. Saya tidak berniat untuk melukai hati anda. Insya-Allah, jika ada rezeki, kita pasti bersua kembali,” katanya yang tidak beraksi pada perlawanan persahabatan Kelantan menentang PKNS di Stadium Shah Alam, malam kelmarin.

Terdahulu, sebuah akhbar melaporkan, KAFA meletakkan harga sekurang-kurangnya RM2 juta kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat penyerang import dari Lubnan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 12:27 PM