HIGUAIN (kanan) jaring gol penyamaan Juve.
HIGUAIN (kanan) jaring gol penyamaan Juve.

Milan: Gonzalo Higuain menjaringkan gol penyamaan pada saat akhir melepasi penjaga gol England Joe Hart untuk menyelamatkan maruah Juventus apabila seri 1-1 dalam pertembungan jiran setempat dengan Torino yang terus menangguhkan sambutan kejuaraan pasukan gergasi Serie A itu kelmarin.

Torino hampir pasti mencatat kemenangan setempat pertama ke atas Juve sejak April 2015 apabila Adem Ljajic meletakkan pelawat di depan beberapa minit selepas babak kedua.

Namun skuad pelawat kendalian Sinisa Mihajlovic kehilangan pemain tengah Afriyie Acquah pada minit ke-57 selepas dibuang padang kerana dilayangkan kad kuning kedua.

Biarpun terus berjuang sepanjang perlawanan, harapan mereka untuk mengecewakan lawan beberapa hari selepas kelab itu menyambut ulang tahun ke-68 nahas udara Superg – yang mengorbankan keseluruhan skuad ‘Grande Torino’ apabila pesawat mereka merempuh Superga Basilica di bandar itu pada 4 Mei 1949 – berakhir apabila Higuain melakukan rembatan leret melepasi Hart pada minit kedua masa kecederaan.

Tiga hari sebelum Juventus menanti kunjungan Monaco dalam misi ke final Liga Juara-juara selepas menang 2-0 pada separuh akhir pertama minggu lalu, jurulatih Massimiliano Allegri meminta pasukannya supaya bertenang.

“Kami mencipta banyak peluang tanpa penyudah sempurna dan apabila perkara itu berlaku anda mula panik dan permainan menjadi kurang lancar,” kata Allegri.

“Namun inilah bola sepak. Ada kalanya anda mencipta banyak peluang dan pulang tanpa hasil, atau perkara sebaliknya boleh berlaku.

“Bagaimanapun kami mengutip satu mata untuk menjulang scudetto. Sebelum ini kami perlukan empat mata, kini kami perlu tiga.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 11:58 AM