AKSI Ronaldo (kanan) bersama Paulo Dybala selepas tamat permainan menentang Empoli FC, hari ini. Foto AFP
AKSI Ronaldo (kanan) bersama Paulo Dybala selepas tamat permainan menentang Empoli FC, hari ini. Foto AFP

CRISTIANO Ronaldo meledak dua jaringan termasuk gol menakjubkan dari jarak 22 meter ketika juara Itali, Juventus melonjak tujuh mata di depan dalam Serie A susulan kemenangan 2-1 ke atas Empoli, awal pagi hari ini.

Empoli yang tidak menang sejak minggu pertama musim ini, mendahului pada minit ke-28 di Stadium Carlo Castellani, Milan apabila Francesco Caputo melencongkan bola ke dalam jaring selepas larian pantas Afriyie Acquah.

Namun, Juventus mengharapkan pemain bernilai 100 juta euro (RM476 juta) itu pada babak kedua apabila Ronaldo menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-54.

Beliau kemudian merembat masuk gol kedua mengagumkan bagi melakar kemenangan kesembilan dalam 10 perlawanan Serie A buat anak buah Massimiliano Allegri.

“Ia perlawanan yang amat sukar. Kami sedar ia pasti sukar apatah lagi selepas bermain dalam Liga Juara-Juara dan kami agak letih,” kata Ronaldo kepada Sky Sport Italia.

“Kami tetap bersaing, meningkatkan penguasaan bola, mencipta lebih banyak peluang selepas rehat, dan akhirnya berhak meraih kemenangan ini.

“Saya tak ingat gol itu dengan jelas, saya perlu menyaksikannya sekali lagi! Ia berlaku terlalu pantas, tapi saya rasa yakin dan cuba menjaringkan gol.”

Selepas seri 1-1 dengan Genoa hujung minggu lalu, Ronaldo melengkapkan minggu lebih berjaya buat Juventus apabila melakukan rembatan jarak jauh yang gagal diselamatkan 20 minit sebelum tamat permainan.

“Saya beritahu mereka, ini perlawanan yang kami perlu menang, tidak kira bagaimana bagus atau buruk kami bermain.

“Gol itu satu saat magis daripada seorang pemain luar biasa dan ia sesuatu yang cuba ditiru kanak-kanak sekolah,” kata Allegri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 8:30 AM