Turin, Itali: Gonzalo Higuain (gambar) menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan buat kali ke-19 pada saingan Serie A ketika Juventus melangkah tujuh mata mendahului Roma dan AC Milan di puncak liga menerusi kemenangan 3-1 ke atas Torino, semalam.

Selepas menjaringkan gol liga terakhir ketika menewaskan Napoli 2-1 pada akhir Oktober, peminat Juve berhak bimbang terhadap tahap konsisten Higuain yang berpindah ke Turin musim panas lalu dengan bayaran 90 juta euro (RM420.9 juta).

Namun, pemain Argentina itu menjaringkan gol untuk menewaskan Dinamo Zagreb 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara minggu lalu dan mengesahkan kembali menemui sentuhannya dengan dua gol yang gagal diselamatkan penjaga gol England Joe Hart.

“Ia perlawanan yang hebat dan dimenangi hasil perubahan pada akhir perlawanan,” kata Massimiliano Allegri yang pasukannya menerima suntikan motivasi dengan kemasukan Paulo Dybala dan Miralem Pjanic ketika pemain Bosnia itu menjaringkan gol ketiga Juve pada minit terakhir perlawanan.

“Higuan beraksi cemerlang dan memberi ganjaran buat kami.”

Dybala kembali selepas berehat selama enam minggu akibat kecederaan dan menampilkan aksi cemerlang untuk membawa Higuain ke petak penalti.

Hart menyelamatkan dua percubaan lawan sebelum Pjanic menyambut lantunan untuk merembat gol pada minit terakhir perlawanan. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 8:52 AM